suria

3 remaja ditahan kerana miliki mercun, bunga api secara haram

RAWANG: Polis menahan tiga remaja lelaki kerana memiliki mercun dan bunga api secara haram yang dipercayai untuk diedar dan dijual kepada orang ramai menjelang sambutan Deepavali Sabtu ini, dalam kejadian di Bandar Baru Rawang di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian 1.43 pagi itu, polis menahan seorang daripada tiga suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha RX yang dilihat berkeliaran di sekitar Bandar Baru Rawang.

"Polis yang curiga dengan gelagat suspek kemudiannya menahan dan membuat pemeriksaan terhadapnya dan menemui empat mercun jenis TPL Firework 25 termasuk wang tunai berjumlah RM300 dalam beg plastik yang dibawanya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata siasatan lanjut terhadap suspek, polis kemudian membuat serbuan di sebuah premis beralamat 15b, Jalan 3 Bandar Baru Rawang dan berjaya memberkas dua lagi suspek dipercayai rakannya dan merampas pelbagai jenis bunga api.

Katanya antara bunga api yang dirampas adalah Sparkles 15 kotak, Mercun Gasing 30 kotak, Mercun Bateri 50 Shots 30 kotak, Flying Eangle 16 Shots 18 paket, Mercun Papan 76 paket, Flaming Ball sembilan kotak, TPL Firework 25 Shot 14 ketul, Glow Of Sunse 16 kotak, Mercun Bola 12 paket, Mercun Botol lima paket, Golden Dragon Egg 12 kotak, Bumble Bee 190 paket, Happy Boom pelbagai saiz 21 paket, Mercun Papan 42 kotak, Mercun Roket lima batang dan Mercun Mancis 10 paket.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua suspek yang berumur antara 13 hingga 19 tahun itu tidak pernah terlibat dalam manamana kes jenayah dan mereka direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain