SHAH ALAM: Seorang buruh dari Acheh Utara, Indonesia, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah mengaku bersalah memiliki dadah kanabis seberat 210 gram yang ditemui di dalam seluar dalamnya, dua tahun lepas.Hakim Datuk Su Geok Yiam memerintahkan tertuduh, Sulaiman Usman, 31, menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 15 Julai 2007. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Besar KL-Rawang berdekatan simpang masuk ke Selayang Pandang, Batu Caves dekat sini, kira-kira pukul 6 petang, 15 Julai 2007.Sulaiman didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.Fakta kes menyebut, tertuduh ditangkap pihak polis ketika sedang berjalan menuju ke persimpangan Selayang Pandang dalam keadaan mencurigakan.Hasil pemeriksaan ke atas badan tertuduh, polis menjumpai satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi dadah itu yang disembunyikan di dalam seluar dalamnya.Tertuduh sebelum ini didakwa atas tuduhan mengedar mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.Dia bagaimanapun menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan iaitu memiliki dadah.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani sementara Sulaiman diwakili peguam Suzanawati Ismail. BERNAMA