suria

Cubaan 29 PATI masuk Malaysia guna "surat cuti palsu" gagal

TAWAU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Tawau menggagalkan cubaan sekumpulan 29 rakyat Indonesia untuk memasuki negara ini melalui feri penumpang menggunakan surat cuti palsu.

Pegawai Pemerintah PGM Tawau, DSP Husaini Zainal Abidin berkata pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berumur antara 20 hingga 30 tahun, termasuk dua wanita itu, ditahan dalam sebuah feri penumpang selepas mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya ketika membuat rondaan Ops Octopus kira-kira jam 11.50 pagi di sekitar perairan Sungai Tongkang dan memeriksa sebuah feri penumpang yang datang dari arah Nunukan, kesemua PATI berkenaan cuma memiliki surat "cuti majikan" yang mencurigakan.

"Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati kesemua surat cuti milik PATI yang didakwa dikeluarkan sebuah syarikat perladangan di Lahad Datu itu adalah palsu," kata Husaini kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Husaini PATI berkenaan mengaku membeli surat cuti berkenaan di Nunukan sebagai salah satu taktik untuk mengelirukan pihak berkuasa Malaysia dengan harga 450,000 Rupiah atau kira-kira RM150 setiap satu.

Bagaimanapun, Husaini berkata pihaknya boleh mengesan sama ada dokumen tersebut sah atau palsu, dan kesemua PATI berkenaan ditahan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain