suria

3 mati setelah lapan hari hanyut di Laut Sulawesi

JAKARTA: Destinasi mereka ialah Pulau Tawi-Tawi di Filipina. Malangnya mereka tersadai di tengah Laut Sulawesi selama lapan hari apabila jurumudi bot tidak dapat memastikan arah menuju ke destinasi akibat kerosakan kompas dan akhirnya bot mereka kehabisan minyak.

Nasib malang yang menimpa 11 penumpang bot berkenaan telah mengorbankan tiga nyawa iaitu seorang ibu bersama seorang anaknya yang masih kecil dan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan akibat kelaparan dan juga kehausan sebelum mereka yang lain diselamatkan oleh bot nelayan yang menemui mereka lapan hari kemudian.

Lapan mangsa yang masih hidup telah diselamatkan pada lebih kurang jam 10 pagi Ahad oleh bot nelayan dan telah dibawa ke pekan Toli-Toli di Sulawesi, Indonesia.

Agensi Berita Antara telah memetik Setiausaha Mukim Ogotua bernama Ilham sebagai berkata, kesemua mangsa dipercayai dari Malaysia memandangkan mereka bertolak dari Lahad Datu, Sabah.

Ilham juga dipetik sebagai berkata, jurumudi bot berkenaan yang bernama Sapil Mahmud, 40, telah mengenalpasti mangsa yang meninggal dunia itu sebagai Rosida, 30an, bersama seorang anaknya berusia dua tahun bernama Arisman dan seorang kanak-kanak lelaki bernama Jonathan, berusia 16 bulan.

Menurut Ilham lagi, jurumudi bot yang malang itu berikhtiar lebih empat jam untuk menentukan arah tuju mereka selepas kompas yang mereka bawa gagal berfungsi sehinggalah bot mereka kehabisan minyak.

Dan menurut Ilham juga, mangsa dan dua orang anaknya itu mati akibat kelaparan, dahaga dan juga kepanasan yang melampau.

Lapan mangsa yang terselamat kini sedang dirawat di sebuah klinik di Toli-Toli.

Jurucakap Kedutaan Malaysia di Jakarta, Amran Mohamed Zain, ketika dihubungi BERNAMA lewat petang ini menjelaskan pihaknya masih mengumpul maklumat bagi memastikan apakah kesemua mangsa rakyat Malaysia atau sebaliknya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan