suria

14 NGO Sunnah hantar resolusi bantahan penahanan kontroversi Dr Asri

PETALING JAYA: Selepas penahanan kontroversi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) beberapa hari lalu, seramai 14 buah NGO Sunnah dari seluruh Malaysia hari ini mengemukakan bantahan mereka melalui pihak media.

Mereka adalah Institut al-Qayyim, Pulau Pinang; Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa Malaysia, Kuala Lumpur; Institut al-Mizan, Negeri Sembilan; Pertubuhan Kebajikan al-Qalam, Perlis; Akademi al-Faqeh, Selangor; INTIS Consultant and Training, Kuala Lumpur; Yayasan at-Tibyan, Pahang.

Turut serta menyatakan bantahan ialah Institut Ibn Kathir, Perlis; Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN), Kuala Lumpur; Pertubuhan al-Khaadem, Kuala Lumpur; Yayasan Ta’lim, Kuala Lumpur; Islamic Propagation Centre International (IPCI), Pulau Pinang; Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ibnu Hajar(IBH), Melaka dan Gagasan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (GUASMA).

Resolusi yang telah diputuskan antara lain berbunyi:

Respons terhadap penangkapan Dr Mohd Asri

1) Kami merasa kesal dan dukacita dengan cara para petugas JAIS menangani isu penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Hulu Kelang malam semalam. Proses penahanan tersebut telah dilakukan dengan cara yang tidak profesional dan biadab, serta membelakangkan adab kesopanan dan tata susila agama.

a. Kami merasakan penangkapan Dr Mohd Asri dilakukan dengan cara yang tidak terhormat, bahkan tidak mengikut prosedur undang-undang yang wajar. Kehadiran begitu ramai anggota polis seolah-olah menggambarkan seorang penjenayah besar sedang dikepung untuk ditangkap.

b. Dalam kejadian yang belaku di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur yang menyaksikan bahawa pegawai JAIS yang terlibat telah mengganggu petugas media menjalankan tugas, dan ini adalah bukti bahawa mereka tidak professional dalam menjalankan tugas.

c. Kami juga sangat hairan bagaimana Dr. Asri dibiarkan tertunggu-tunggu selama beberapa jam tanpa sebarang pertuduhan di ruang mahkamah. Lebih menghairankan lagi tiba-tiba beliau dikatakan telah dibebaskan dengan bon jaminan sedangkan hal tersebut tidak pernah berlaku.

2) Kami menggesa agar dalang di sebalik kekacauan yang berlaku pada hari tersebut dikenalpasti dan diambil tindakan tegas oleh pihak berwajib.

a. Kami ingin tertanya-tanya apakah bentuk penjelasan yang telah diberikan oleh para petugas JAIS kepada pihak polis sehingga menyebabkan seluruh taman perumahan dikepung oleh pihak polis. Adakah rumah tersebut sedang melakukan aktiviti jenayah?

b. Kejadian tersebut amatlah tidak wajar, seolah-olah para pegawai JAIS sengaja menggambarkan bahawa Dr Mohd Asri seperti seorang penjenayah dan menjatuhkan kredibiliti beliau.

c. Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang bertindak professional dalam menangani kes tersebut yang ternyata lebih baik berbanding para petugas JAIS.

3) Kejadian yang berlaku lewat malam semalam adalah bukti diskriminasi dan prejudis terhadap kesarjanaan ilmu dan keterbukaan pemikiran. Dan pada masa yang sama, mencemarkan kebebasan bersuara dalam negara demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

4) Kami dengan ini meminta penjelasan daripada JAIS serta pihak-pihak berkaitan, kenapa seorang bekas mufti, ahli Majlis Agama Islam Negeri Perlis, pensyarah kanan di universiti tempatan yang mempunyai kelulusan khas dalam bidang agama, kolumnya dibaca oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia, bahkan diiktiraf keilmuannya oleh pihak kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, ditahan atas sebab tiada tauliah. Jika tauliah menjadi isu kenapa masih ramai individu yang memberikan ceramah di masjid dan surau di bawah seliaan JAIS tanpa tauliah, akan tetapi tidak ditahan. Maka dapat kami simpulkan bahawa penahanan Dr Mohd Asri adalah berbentuk selektif ataupun berpilih-pilih.

5) Kami sangat menghargai keprihatinan dan sokongan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan sebilangan ahli palimen Malaysia yang bersidang hari ini. Reaksi positif pihak terbabit member sinar kepada kebebasan berfikir dan bersuara dalam sebuah Negara demokrasi berdaulat seperti Malaysia ini.

6) Dengan ini, kami sebulat suara menggesa pihak yang berkaitan menghentikan 'politiking' agama ini agar wajah penguatkuasa Islam tidak dipandang remeh dah hina oleh masyarakat awam. Kami juga menggesa agar dalang dan petualang yang mencetuskan kekecohan ini diambil tindakan tegas bagi menghentikan agenda buruk mereka. Jika benar ada pertuduhan lakukanlah dengan adil dan saksama.

Respons terhadap kenyataan balas PGSM

1. Kami menyelar kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang mengatakan bahawa memorandum tersebut adalah satu perkara yang remeh yang sengaja digembar-gemburkan oleh Dr. Asri.

2. Namun, perkara remeh seperti yang didakwa oleh pihak PGSM, telah dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, seterusnya seolah-olah meremehkan dan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong itu sendiri.

3. Kami dengan ini, ingin menyatakan bahawa memorandum tersebut dipenuhi dengan tuduhan-tuduhan palsu dan berbentuk fitnah. Ternyata bahawa mereka telah berbohong di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat yang membaca memorandum tersebut.

4. Kami juga percaya bahawa memorandum seperti yang telah dikeluarkan itu tidak disokong oleh kesemua 16 NGO, bahkan kami juga percaya bahawa ianya bukanlah kenyataan rasmi mereka. Akan tetapi ia cuma mewakili sesetengah individu yang berkepentingan.

5. Dan kami juga meragui pernyataan memorandum tersebut bahawa majoriti umat Islam di Malaysia membantah, dan tidak menerima Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedangkan telah ternyata jelas bahawa Dr Mohd Asri mampu mendapatkan sokongan yang baik, samada dari pihak kerajaan, pembangkang mahupun pihak-pihak berkecuali.

6. Kami merasakan bahawa pihak PGSM telah mencemarkan imej baik mereka sebagai pengamal undang-undang yang sepatutnya menitik beratkan soal bukti, hujah dan juga fakta yang benar dalam menuatakan tuduhan. Kenyataan yang berbentuk pembohongan serta fitnah seperti di dalam memorandum tersebut telah mencalar kredibiliti PGSM lebih-lebih lagi sebagai persatuan pengamal perundangan Islam. Malahan, ia menggambarkan mentaliti dan cara bertindak yang rendah.

7. Dengan ini, kami menggesa pihak PGSM membuktikan kesemua 10 tuduhan yang dimuatkan di dalam memorandum tersebut, dan kami ingin menolak sekeras-kerasnya kesemua dakwaan palsu yang termuat di dalam memorandum yang telah disampaikan kepada Yang diPertuan Agong tersebut.

8. Kami juga ingin mencabar pihak PGSM untuk membuktikan kesemua tuduhan palsu di dalam memorandum tersebut secara terbuka untuk merungkai segala kekeliruan memandangkan memorandum tersebut telah pun disiarkan kepada umum di dalam laman sesawang PGSM sendiri.

9. Kami juga memohon penjelasan pihak PGSM mengemukakan sumber yang menyebut berkenaan perlantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai Yang Dipertua YADIM.

Berdasarkan satu kenyataan akhbar oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Jamil Khir Baharom beliau telah menegaskan bahawa tiada perlantikan baru atau pengganti untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut kerana tempoh jawatan YDP YADIM yang sedia ada telah dilanjutkan sehingga 2012.

Artikel Sebelum

Artikel Lain