suria

CSL Sedia Tak Bertanding Jika Liow Turut Sama

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau bersetuju untuk tidak bertanding pada pemilihan parti akan datang jika Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga tidak bertanding.

Dr Chua ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat tertutup membincangkan Pelan Perpaduan Lebih Unggul di ibu pejabat parti di sini, sebaliknya mencabar Liow supaya tidak bertanding dalam pemilihan parti.

"Beliau berkata jawatan parti tidak penting, itu saya setuju. Jadi pada pemilihan parti akan datang jika ada, saya harap Liow Tiong Lai tidak perlu bertanding bagi mana-mana jawatan, dan jika beliau berbuat demikian, Chua Soi Lek bersedia mengikut jejak langkahnya," katanya.

Beliau mencabar Liow untuk mengumumkan pada EGM 28 November ini bahawa jawatan parti tidak penting kepadanya dan beliau tidak akan bertanding.

Dr Chua berkata ketika beliau mahu supaya EGM diadakan ekoran pemecatannya, Liow mempersoalkan tujuannya tetapi kini Liow sendiri melakukan perkara sama untuk mendapatkan sokongan akar umbi pada EGM 28 November.

"Sebagai ahli politik, pertama sekali yang perlu diperoleh adalah meraih kewibawaan dan kejujuran daripada anggota dan masyarakat umum, katakan dan lakukannya, tetapi jangan bercakap sesuatu dan melakukan perkara yang lain," kata Dr Chua.

Mengenai desakan Liow supaya beliau menyerahkan jawatan tanpa syarat, Dr Chua berkata jika Liow masih tidak berpuas hati dengan hakikat beliau masih Timbalan Presiden, Liow hendaklah mendapat penjelasan Pendaftar Pertubuhan dan "bukannya menuduh sebarangan".

Artikel Lain