Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan buku berjudul "Sinar Perjuangan USIA" dan "Back to Quran" selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ke- 23 di sini, hari ini.-Foto BERNAMA KOTA KINABALU: Ahli politik yang ingin memberikan ceramah agama perlu mendapatkan pentauliahan sebagai pendakwah daripada Jabatan Agama Islam Negeri bagi mengelak perpecahan dan kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.Beliau berkata pentauliahan ini bagi menjamin syarahan yang diberikan adalah mengikut ajaran Islam yang betul yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. "Saya lihat ramai orang politik membuat syarahan agama tanpa tauliah. Syarahan agama yang mempunyai kepentingan politik sepatutnya tidak boleh dipercayai."Kita khuatiri perbezaan pendapat orang-orang Islam tertentu akan disalah tafsir oleh umat dan menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Ke-24 di sini pada Sabtu.Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), berkata pentauliahan kepada penceramah Islam juga supaya ajaran Islam yang betul dapat diterima di semua negeri."Kita lihat ada setengah orang boleh (mendakwah), setengah orang pula tak boleh. Ada negeri lain boleh (terima seseorang pendakwah), negeri lain tak boleh," katanya.Menurutnya, perbezaan pendapat di kalangan umat Islam boleh berlaku, tetapi tidak seharusnya menyebabkan permusuhan.Oleh itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya kembali kepada al-Qur'an dan hadis-hadis yang sahih untuk mempelajari ajaran asal agama Islam.Sementara itu, Dr Mahathir menyeru umat Islam supaya tidak mengenepikan ilmu dunia dalam usaha mendalami pengetahuan agama."Kita jangan berdakwah sahaja. Kalau kita nak bagi tahu orang pasal keagungan agama kita tetapi orang tengok kita miskin, lemah dan mengharapkan belas kasihan orang lain, bagaimana kita nak meyakinkan orang lain tentang Islam?"Islam adalah agama baik, membentuk keperibadian umatnya yang baik, menuntut umatnya supaya berilmu dan memajukan umatnya," katanya. BERNAMA