KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa masyarakat Malaysia supaya menerima kepelbagaian di negara ini sebagai satu rahmat, iaitu sumber bukan sekadar budaya penuh bertenaga tetapi turut mempunyai kelebihan ekonomi.Beliau berkata kepelbagaian masyarakat Malaysia tidak boleh "lenyap dalam keadaan yang berubah-ubah" dan cabaran untuk hidup bersama-sama tidak akan membuahkan penyelesaian tunggal. "Kita perlu menangani masalah kita dalam cara yang konkrit dan pragmatik."Kita mewujudkan perikatan, merapatkan jurang dan berkongsi kuasa atas dasar masyarakat dengan masyarakat," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Asia ke-21 di sini malam Jumaat.Najib berkata bagi mereka yang telah biasa dengan skema yang lebih rapi, perkara itu mungkin kelihatan seperti suatu keadaan kompleks yang mustahil dilakukan, terutamanya bagi sebuah negara yang melalui keperitan di awal penubuhannya.Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata Malaysia telah menentang asimilasi budaya bagi menyokong ikatan hubungan dan perkongsian kuasa yang pragmatik."Sebagai menggantikan pelan sosial yang hebat, kita memilih untuk membentuk perikatan, menjalin persahabatan dan membina hubungan."Kita telah bergantung kepada kewarasan fikiran dan bertolak ansur dan mencapai persetujuan terhadap perkara tertentu."Kita telah memilih untuk mempupuk perpaduan kita secara semula jadi, bermula daripada di mana kita berada, dan bukannya memaksa perancangan yang dibuat di peringkat atasan," katanya.Najib berkata konsep 1Malaysia bukanlah satu program sedia ada yang diturunkan oleh pentadbiran beliau, tetapi satu peringatan berhubung isu tunggal paling penting yang mendepani masyarakat, iaitu isu yang sama ada dapat menjayakan atau memusnahkan negara, perpaduan Malaysia dalam kepelbagaian.Terdahulu, beiau memberitahu perwakilan ke sidang kemuncak itu bahawa persidangan berkenaan amat penting memandangkan terdapat keperluan untuk berbincang mengenai kepimpinan masa depan."Ini sudah tentu membawa maksud generasi baru pemimpin yang bukan sahaja melihat menjangkaui sempadan dan jangkaan tradisi, tetapi juga bentuk baru kepimpinan yang membenarkan kerjasama dalam isu yang merentas kewarganegaraan, etnik dan kepentingan setempat," katanya.Perdana Menteri berkata perubahan berterusan dan fundamental dalam persekitaran politik, sosial dan ekonomi akan memperincikan keperluan kepimpinan bagi generasi akan datang."Ia tentang mengenal pasti kerentanan dalam status quo, mendidik pemegang kepentingan, menyediakan masyarakat dan proses bagi menyesuaikan diri dengan perubahan."Perubahan akan berlaku. Menjadi tugas kita sebagai pemimpin untuk memastikan perubahan itu akan tiba demi kebaikan masyarakat kita dan masyarakat pula bersedia untuk menerimanya," katanya. BERNAMA