suria

Zulkifli Noordin Kata Fatine Min Baharin Patut Dibantu Bukan Dihukum

KUALA LUMPUR: Fatine Min Baharin, seorang khunsa yang mencetuskan kontroversi kerana menikahi lelaki Inggeris melalui cara sivil di United Kingdom, telah mendapat sokongan moral daripada orang yang tidak mungkin terlintas pun di fikiran kita semua iaitu ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin dari PKR.

Zulkifli, yang sentiasa dilihat sebagai seorang yang berpendirian tegas dalam soal-soal dasar agama dan syariah berkata, adalah tidak wajar untuk sesiapa sahaja termasuklah pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen menuduh Fatine memalukan negara ini.

“Sebenarnya soal Fatine tidak perlu dijadikan isu kerana syariah memberi pengiktirafan kepada tiga jenis atau kategori seks dengan jelas.

"Jika benar dia seorang khunsa, Fatine tidak perlu takut untuk kembali ke Malaysia malah jika beliau hendak pulang, kita akan membantu dia,” kata Zulkifli dalam satu temuramah dengan laman portal Malaysian Insider di lobi Parlimen, Khamis.

Zulkifli menjelaskan seorang khunsa adalah berbeza dengan seorang pondan kerana seorang yang dilahirkan sebagai khunsa adalah merupakan kejadian semulajadi manakala pondan terjadi akibat perbuatan atau tindakan seseorang itu.

Beliau juga menyeru Majlis Fatwa menjelaskan kepada masyarakat mengenai perbezaan ini agar orang-ramai lebih memahami situasi seperti ini.

Malah beliau berkata, seseorang yang dilahirkan sebagai khunsa yang mempunyai dua alat kelamin perlu diberikan hak untuk memilih dia hendak menjadi wanita atau lelaki dan apabila mereka telah membuat pilihan, kita patut memberi pengiktirafan ke atas kewujudan mereka dan ini termasuklah dalam soal perkahwinan dan sebagainya.

Fatine, 36, mengaku dirinya khunsa dan dilahirkan sebagai Mohammed Fazdil Min Bahari.

Setelah berkenalan dengan seorang lelaki Inggeris di Kuala Lumpur, Fatine telah mengikut lelaki tersebut ke England dan baru-baru ini telah melangsungkan perkahwinan secara sivil di negara tersebut.

Perkahwinan mereka telah mendapat liputan meluas oleh media massa negara tersebut. Bagaimanapun, permohonan visanya untuk melanjutkan lawatannya telah ditolak atas sebab-sebab teknikal.

Fatine kini berhadapan dengan kemungkinan didepot balik ke Malaysia dan dia kini bimbang akan berhadapan dengan pelbagai masalah termasuklah dikecam oleh masyarakat sendiri dan juga berkemungkinan berhadapan dengan tindakan oleh Jabatan Imigresen sendiri.

Jika dia didapati bersalah dan didepot balik ke Malaysia ada kemungkinan Jabatan Imigresen akan mengenakan tindakan mengharamkannya ke luar negara selama dua tahun.

Pada masa yang sama, Fatine juga khuatir dia akan dikenakan tindakan oleh Jabatan Agama kerana perkahwinan sesama seks adalah diharamkan di Malaysia.

Artikel Lain