suria

Waris Bingung Pelajar Diarah Keluar Asrama Serta-Merta

ALOR SETAR: Sekumpulan waris calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik di sini, bingung selepas anak-anak mereka diarah keluar dari asrama sekolah itu serta merta semalam, akibat salah faham antara warden dengan salah seorang pelajar.

Mohd Yusli Saad, 43, dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pula berkata, beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada anaknya yang mengatakan mereka diarah keluar dari asrama serta-merta Jumaat malam.

"Saya kemudiannya menelefon Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu untuk mendapatkan penjelasan, namun beliau menafikan ada arahan (keluar asrama) tersebut.

"Mungkin ada masalah komunikasi di antara pelajar dan penyelia asrama itu, namun perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka sedang menghadapi peperiksaan penting," katanya.

Berikutan itu, Mohd Yusli memberitahu anaknya terpaksa menumpang di rumah salah seorang rakannya kerana masih ada beberapa kertas peperiksaan yang perlu diduduki.

Difahamkan, insiden itu berlaku ekoran perselisihan faham antara warden dengan salah seorang pelajar perempuan yang tinggal di asrama sekolah berkenaan, selepas beliau didapati melanggar peraturan asrama.

Pelajar berkenaan didakwa telah menemui teman lelakinya di perkarangan asrama dan lelaki itu menyamar sebagai abang pelajar itu sebelum dibenarkan masuk ke kawasan asrama petang semalam.

Seorang waris, Zuraida Husin, 30, berkata arahan secara tiba-tiba itu dianggap sebagai tidak profesional dan dilakukan secara emosi semata-mata.

"Kalau betul ada pelajar yang buat salah, kenapa tindakan tidak dikenakan terhadap pelajar terbabit sahaja, kenapa calon lain turut menjadi mangsa.

"Perlu diingat, mereka sedang menghadapi SPM, bukan peperiksaan main-main, tambah pula keadaan cuaca sekarang yang selalu hujan dan tidak menentu," katanya ketika ditemui di perkarangan asrama sekolah berkenaan, di sini.

Sementara itu, seorang pelajar perempuan yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau terkejut apabila warden mengarahkan semua pelajar mengemas barang dan meninggalkan asrama, walaupun peperiksaan belum berakhir.

"Tapi bila waris-waris mula sampai, cikgu kata, dia tidak suruh kami keluar pada waktu malam pula... saya dah telefon ayah dan memaklumkan perkara ini, buat masa ni saya tumpang rumah kawan dulu," kata pelajar dari Sungai Petani, dekat sini.

Mohd Firdaus Mahathir, 17 yang tinggal jauh dari sekolah berkata arahan itu menyukarkannya kerana terpaksa berulang-alik ke sekolah lebih 40 kilometer, sepanjang tempoh peperiksaan itu berlangsung, tambah pula sekarang ini musim hujan, lagi susah.

"Oleh kerana masih ada kertas peperiksaan yang belum saya ambil, saya terpaksa menumpang di rumah kawan yang berdekatan sehingga tarikh akhir peperiksaan pada 16 Disember ini," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 8 malam semalam, berlaku pertengkaran antara waris dan warden asrama berkenaan kerana mereka terpaksa datang ke asrama untuk mengambil anak masing-masing pada waktu malam.

Difahamkan, seramai 45 calon perempuan dan lebih 20 calon lelaki sekolah berkenaan tinggal di asrama sepanjang musim peperiksaan SPM bagi memudahkan mereka menghadapi peperiksaan itu.

Sementara itu, Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd Rahman ketika dihubungi Bernama di sini hari ini memberitahu, pihaknya masih belum dimaklumkan mengenai insiden itu dan akan membuat siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain