suria

85 Motosikal Disita, Lima Ditahan Dalam Operasi Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Sebanyak 85 motosikal disita dan 150 saman polis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Dataran Merdeka tengah malam tadi.

Operasi kira-kira empat jam mulai 12 tengah malam itu mensasarkan kawasan berkenaan yang sememangnya menjadi tumpuan "mat rempit" dan pelumba haram.

Operasi itu disertai 114 pegawai dan anggota termasuk 69 anggota dan pegawai polis dari bahagian Trafik, Narkotik dan Bukit Aman dan selebihnya dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Trafik Kuala Lumpur ACP Rusli Mohd Noor berkata lima lelaki turut ditahan dalam operasi itu dengan dua dari mereka positif dadah Methamphetamine dan seorang memiliki heroin.

"Dalam operasi itu juga, kita menahan dua lagi lelaki kerana memaki pihak polis ketika kami mengarahkan mereka untuk berhenti dan mahu memeriksa kenderaan mereka.

"Terdapat juga mat rempit yang bertindak berani dengan melawan arus dan ada juga yang merempuh sekatan polis. Kita bagaimanapun tidak mengejar mereka yang degil ini kerana memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya kepada pemberita selepas tamatnya operasi itu.

Beliau berkata JPJ juga mengeluarkan 10 saman dan 78 kereta pula diberi Notis Pemeriksaan Kenderaan (PG1) untuk mengubah semula kenderaan mengikut spesifikasi asal dalam tempoh 10 hari kerana mengubah suai kereta mereka secara ekstrem dan tidak mengikut spesifikasi.

Menurut Rusli motosikal yang disita kebanyakannya atas kesalahan tiada atau tamat tempoh cukai jalan, tiada lesen memandu dan pengubahsuaian kenderaan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Kita mendapati hampir kesemuanya mempunyai kesalahan seperti mengubah suai enjin, tiada cermin sisi, plat no pendaftaran motosikal digelapkan, nombor chasis palsu dan pelbagai lagi.

"Kebanyakan mat rempit ini turut mengubah suai ekzos motosikal agar kenderaan mereka itu lebih laju dari biasa yang bertujuan untuk berlumba," katanya sambil menambah operasi tersebut turut dijalankan serentak di Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.

Beliau berkata mat rempit meskipun maklum akan perbuatan dan aksi bahaya mereka itu boleh mengundang kecelakaan pada diri mereka sendiri dan mengganggu ketenteraman, namun mereka langsung tidak mengendahkannya, sematamata untuk memenuhi keseronokan.

"Operasi sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras gejala negatif seperti lumba haram, mat rempit dan pemanduan yang merbahaya di kalangan mudamudi khasnya kerana kita percaya operasi sebegini memberi impak dan kesan positif kepada mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain