MUAR: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang bekas pelumba basikal negara selepas mendapatinya bersalah mengedar ganja seberat 4,477 gram (g) pada tahun 2006.Ramli Kasron yang berasal dari Batu Pahat didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Dia tenang semasa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman tersebut.Ahmadi berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes itu tanpa sebarang keraguan sementara pihak pembela hanya berjaya menyediakan penafian yang sedikit.Bagaimanapun, katanya, Ramli masih mempunyai ruang untuk membuat rayuan walaupun mahkamah mendapati dia bersalah sekali gus dijatuhi hukuman mati.Ramli yang mewakili negara di Sukan SEA Manila pada tahun 1991 dan menyertai beberapa acara berbasikal peringkat kebangsaan ditangkap di plaza tol Air Hitam pada 19 April 2006.Menurut fakta kes, dia ditemui bersama 4,477 g ganja atau kanabis di tempat duduk belakang keretanya semasa polis menahannya kira-kira 6.45 petang.