suria

Dua Beranak Mati: Krismas Menyedihkan Bagi S.Rajoo

SEREMBAN: Hanya tinggal beberapa hari sahaja, S.Rajoo akan pulang untuk menyambut Krismas bersama keluarga tetapi ia berakhir hari ini apabila isteri dan anaknya yang baru berusia 7 tahun ditemui mati di bawah gambar Jesus di rumah mereka yang terletak di Jalan BSS 1/3B, Taman Seremban Selatan.

Pada hari Selasa lepas, S. Rajoo, 50, yang bekerja di Johor sebagai pemandu bas berasa tidak sedap hati kerana mengalami masalah sedu yang berpanjangan dari tengah hari sampailah ke pukul 3 pagi keesokkan harinya.

"Saya tidak dapat mimpi apa cuma rasa tidak sedap hati, hari-hari saya cuba menghubungi isteri selama 3 hari tetapi telefon tidak diangkat," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk balik ke rumah hari ini tetapi pintu hadapan rumah 2 tingkat pasangan itu terkunci rapat dan dia kemudian menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu dapur.

"Bila masuk, saya nampak isteri dan anak saya mati," katanya sambil menunjukkan ke arah tempat mayat kedua-dua ahli keluarganya ditemui di kawasan ruang tamu rumah mereka.

Beliau menegaskan keluarga itu tidak bermusuh dengan sesiapa tetapi alat pemain VCD miliknya sudah hilang dan memberitahu, rumah itu pernah dicerobohi kira-kira dua tahun lepas serta wang tunai RM250 lesap.

Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Supt Zazali Hashim berkata mereka yang mati dikenali sebagai M.Meenah, 39, dan anak lelakinya R. Sharvin, 7 tahun.

Katanya, polis tidak menemui sebarang kesan pecah masuk dan kesan-kesanpergelutan di rumah itu.

"Polis menerima panggilan telefon dari suaminya tengah hari tadi. Kita akan siasat dan selepas menjalankan bedah siasat kita akan tahu punca kematian sama ada mangsa dan anaknya mati mengejut atau dibunuh," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain