KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menjelaskan, tindakan memberhentikan kerja yang diambil ke atas seorang Brigadier Jeneral dan beberapa anggota lain dilakukan sebelum kejadian kehilangan dua buah enjin jet pesawat pejuang F-5E diketahui berlaku.Pada masa yang sama, menurut Pejabat Perhubungan Awam TUDM Markas Tentera Udara, mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan dan pendakwaan berkaitan kes kehilangan enjin-enjin jet terbabit. "TUDM berharap agar semua pihak dapat menunggu maklumbalas daripada Pejabat Peguam Negara sebelum memberikan sebarang komen," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.Kenyataan itu memberitahu, tindakan yang diambil terhadap pihak terbabit adalah lebih berkaitan dengan ketidakcekapan dan prestasi kerja.Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut adalah langkah-langkah biasa yang dilaksanakan untuk mencegah daripada berulangnya perkara yang tidak diingini.TUDM berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang bercanggah daripada fakta sebenar untuk mengelakkan kekeliruan pelbagai pihak.Pesawat pejuang F-5E mula memasuki perkhidmatan TUDM pada tahun 1974. Pada tahun 1999, TUDM membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat itu.Peranannya sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D.Walaupun usianya menjangkau 29 tahun di dalam inventori TUDM, pesawat itu telah diaktifkan semula pada tahun 2003 sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.