KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret diminta memandang berat kesalahan melaga-lagakan binatang bagi tujuan hiburan kerana aktiviti itu tidak berperikemanusiaan.Timbalan Pendakwa Raya Norhanum Hassan berkata walaupun hanya melibatkan dua ekor burung murai, tetapi perbuatan itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diabaikan. Beliau berhujah demikian ketika memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap seorang warga emas Khoo Khang Huat, 70, dan 13 lelaki yang dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kelab rekreasi peminat burung di Jinjang, di sini, pada 9.30 pagi, 13 Disember lalu, mengikut Seksyen 44(1)(g) Ordinan Binatang 1953.Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir memerintahkan mereka yang berumur antara 27 hingga 70 tahun itu, masing-masing didenda RM130 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.Kesemua mereka yang merupakan pesara dan penganggur diwakili peguam Ahmad Ridza Mohd Noh.Pada masa yang sama, seorang lagi warga emas, Chen Long, 72, bersama-sama 12 yang lain turut dikenakan denda yang sama oleh Majistret Aina Azahra Ariffin di mahkamah yang berlainan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang sama.Mereka yang berumur antara 27 hingga 72 tahun itu juga merupakan pesara dan penganggur diwakili peguam Khairul Amir Abdullah.Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin. -BERNAMA