KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan takziah dan melahirkan rasa sedihnya kepada keluarga bekas presiden Indonesia Abdurrahman Wahid atas kematian pemimpin itu."Saya sedih dan ucap takziah kepada keluarganya atas pemergian Bapak Gus Dur yang pernah menjadi Presiden Indonesia dan juga seorang yang pernah memberi peluang kepada saya untuk rapat dengan beliau. "Saya mendapati beliau adalah seorang patriotik, nasionalis yang berjuang untuk Indonesia dan agama Islam. Walaupun ada ketikanya tidak bersetuju dengan pandangan beliau tetapi tetap hormat akan pandangan beliau," katanya kepada pemberita selepas menandatangani buku ucapan takziah atas kematian bekas presiden Indonesia itu di Kedutaan Indonesia di sini hari ini.Pemimpin Indonesia itu, dengan panggilan mesra Gus Dur, 69, meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan di Jakarta petang semalam.Ketika ditanya apakah karakter Gus Dur yang agak kelakar itu menjadi antara kenangan yang diingati beliau mengenai Gus Dur, Dr Mahathir sambil tersenyum berkata: "Beliau selalu ada cerita lucu untuk diceritakan kepada kami walaupun pada ketika itu kami sedang berbincang perkara yang serius."Gus Dur menjadi presiden Indonesia keempat dari 1999 hingga 2001, dan pengasas Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), sebuah parti Islam. -BERNAMA