suria

Tok Mat dan Saya...

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohamed Rahmat yang juga bekas Menteri Penerangan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2010. 'Tok Mat' meninggalkan seorang balu Puan Sri Salbiah Abdul Hamid dan tiga orang anak iaitu Datuk Nur Jazlan, Nur Jazman dan Nur Jasni. -Foto BERNAMA
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohamed Rahmat yang juga bekas Menteri Penerangan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2010. 'Tok Mat' meninggalkan seorang balu Puan Sri Salbiah Abdul Hamid dan tiga orang anak iaitu Datuk Nur Jazlan, Nur Jazman dan Nur Jasni. -Foto BERNAMA
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Mohamed Rahmat yang juga bekas Menteri Penerangan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 1 Januari 2010. 'Tok Mat' meninggalkan seorang balu Puan Sri Salbiah Abdul Hamid dan tiga orang anak iaitu Datuk Nur Jazlan, Nur Jazman dan Nur Jasni. -Foto BERNAMA

SAYA mempunyai banyak kenangan manis bersama Tan Sri Datuk Mohamed Rahmat, bekas menteri penerangan dan setiausaha agung Umno yang telah kembali ke rahmatullah pada hari pertama tahun baru 2010.

Setiap kali bertemu, Allahyarham suka mengajak saya menemaninya minum kopi dan merokok. Allahyarham seorang yang kuat merokok sedangkan saya tidak. Tetapi kami menjadi baik kerana saya suka mendengar celoteh dan ceritanya.

Di atas keakraban inilah Allahyarham sering menjadi sumber berita saya mengenai Umno. Antara berita eksklusif yang pernah beliau berikan kepada saya ialah langkah-langkah pembaharuan yang dilakukan oleh Ibu Pejabat Umno untuk menambah keahlian parti.

Dan ketika beliau menjadi menteri penerangan, beliau juga pernah memberikan interbiu kepada saya berkenaan program ‘setia’ nya di RTM yang kemudian menjadi sangat popular dan mendapat perhatian ramai.

Bagaimanapun, berita paling eksklusif dan kontroversi yang pernah diberikan oleh Allahyarham kepada saya ialah mengenai rancangan Tengku Razaleigh Hamzah, Ibrahim Ali dan beberapa lagi pemimpin Umno dari kalangan Team B yang ingin melancarkan parti baru beberapa bulan selepas Umno diharamkan.

Ketika itu Tok Mat melawat ke kilang percetakan Utusan di Utusan Printcorp yang terletak di persimpangan Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin. Saya ditugaskan untuk membuat liputan.

Ketika sedang meninjau mesin cetak Tok Mat telah membisik ke telinga saya; “Kau nak tulis satu berita besar aku nak kasi?”

Saya kata berita apa yang tak pernah saya tulis kalau Tok Mat yang berikan.

Dengan senyuman yang menjadi trademark beliau, Tok Mat telah memaklumkan bahawa sebuah parti baru yang akan dinamakan PERKASA akan didaftarkan oleh Tengku Razaleigh dan penyokong-penyokongnya.

Berita tersebut telah digunakan sebagai berita utama Utusan Malaysia keesokan harinya dengan memetik sumber-sumber sebagai berkata.

Dan seminggu selepas itu, saya dan Utusan telah menerima surat saman daripada Tengku Razaleigh Hamzah dan Ibrahim Ali yang meminta Utusan memohon maaf dan menarik balik berita tersebut. Inilah surat saman saya yang pertama yang saya terima sepanjang karier saya sebagai pemberita.

Kes saman tersebut telah berjalan bertahun-tahun lamanya. Peguam saya ketika itu ialah bekas menteri luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Syed Hamid yang sebelum itu berkhidmat dengan Bank Bumiputera telah meletakkan jawatannya di bank berkenaan beberapa jam sebelum penamaan calon pada pilihan raya umum dilakukan oleh Ibu Pejabat Umno.

Malangnya, nama Syed Hamid digugurkan pada saat-saat akhir maka anak "Singa Umno" itu yang menjadi penganggur terhormat telah membuka firma guamannya sendiri dan firmanya itu adalah salah satu daripada panel peguam Utusan.

Maka turun naik lah saya ke pejabat Syed Hamid yang ketika itu beroperasi di bangunan Arab-Malaysian di Jalan Raja Chulan.

Saya sering kelihatan gelisah apabila berhadapan dengan hal-hal seperti ini tetapi Syed Hamid sering mententeramkan saya dengan berkata, ini adalah perkara biasa dalam dunia kewartawanan.

Beliau sentiasa kelihatan yakin dan ceria dan itu sedikit sebanyak menceriakan saya juga.

Tidak berapa lama kemudian saya bertemu kembali dengan Tok Mat untuk menemani beliau minum kopi dan hisap rokok. Dan sejak itu beliau seringkali mengusik dan mentertawakan saya sehingga kadang kala membuatkan saya marah dan kecil hati kerana melalui punca sumber berita beliaulah maka akhirnya saya diheret ke mahkamah.

Kes tersebut sebenarnya digugurkan di pertengahan jalan. Saya dan Utusan tidak sempat naik mahkamah pun kerana tidak lama selepas itu benar sungguh Ku Li, Ibrahim Ali dan beberapa lagi pemimpin Umno dari kumpulan Team B telah menubuhkan sebuah parti baru. Cuma namanya saja yang berbeza iaitu daripada PERKASA kepada SEMANGAT 46.

Selepas saya dilantik ke jawatan ketua pemberita dan kemudiannya pengarang berita dan jarang-jarang sekali keluar membuat liputan, saya jarang sekali bertemu dan menemani Tok Mat minum.

Apatah lagi pada tahun-tahun selepas beliau meninggalkan jawatan menteri dan setiausaha agung Umno. Namun sekali sekala semasa perhimpunan agung Umno setiap kali terserempak dengan beliau di coffee house PWTC beliau akan menarik tangan saya untuk terus mendengar celotehnya.

Dan setiap kali itu jugalah beliau akan terus menerus mengungkit cerita lama bagaimana Ku Li dan lain-lain mengheret saya ke mahkamah kerana menulis berita mengenai penubuhan sebuah parti baru.

Tok Mat dengan bangganya akan mengakhiri ceritanya kepada mereka yang mendengar dengan berkata; “Aku yang bagi maklumat tu pada dia...”

Legasi Tok Mat dalam politik kini nampaknya disambung oleh anaknya Nur Jazlan. Kebetulan pula saya turut mengenali Jazlan jauh sebelum beliau menjadi ahli Parlimen mengantikan bapanya di Parlimen Pulai.

Ketika saya bertugas sebagai setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, setiap kali saya turun ke Johor Baharu dan menginap di Hotel Hyatt, saya pasti akan bertembung dengan Jazlan yang juga pada hujung minggu akan balik ke kawasannya.

Sepertimana bapanya, Jazlan sentiasa mengukirkan senyum, bertegur sapa, bertanya khabar dan kadang kala sinis juga sepertimana Tok Mat.

****

Lebih kurang dua bulan yang lalu, saya telah menerima satu kiriman e-mail yang menjemput saya untuk menghadiri majlis pra-pelancaran buku hasil nukilan Tok Mat mengenai Umno.

Saya sepatutnya pergi malangnya saya tidak. Dan begitulah berakhirnya hubungan saya dengan beliau. Tidak berjumpa sampai kesudah.

Artikel Berikut

Artikel Lain