LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 1 Langkawi, berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok ke tanah besar dan merampas 196 kartun rokok pelbagai jenis, di Jeti Marble berhampiran Jeti Kuah, di sini pagi tadi.Ketua Penguatkuasa APMM Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Maritim Abdul Rahim Abdullah berkata, nilai dan cukai ditaksir RM18,000 dan seorang lelaki rakyat tempatan berumur 27 tahun ditahan. "Rampasan itu dibuat sepasukan mengandungi lima anggota APMM yang mengesan sebuah bot fiber yang bergerak tanpa memasang lampu dari arah Langkawi ke tengah laut dalam keadaan mencurigakan kira-kira 12.20 pagi tadi."Setelah diarah berhenti bot berkenaan melarikan diri, bagaimanapun ia berjaya ditahan selepas peronda APMM mengejar selama 10 minit," katanya kepada pemberita, di Pejabat APMM Langkawi, di sini hari ini.Katanya, sebelum ditahan bot itu keluar dari pangkalan Jeti Marble dan dipercayai ingin menuju ke suatu tempat untuk menghantar rokok, bagaimanapun bot itu terserempak dengan bot peronda menyebabkan ia berpatah balik ke pangkalan.Hasil pemeriksaan anggota APMM menjumpai 196 kartun rokok diisi dalam bungkusan kotak dan plastik dalam bot itu yang dipercayai cuba dipasarkan di sekitar Kuala Perlis, katanya. - BERNAMA