suria

Wartawan 'Suara Keadilan' Beri Keterangan Pada Polis

SHAH ALAM: Wartawan 'Suara Keadilan' yang menulis artikel bertajuk "Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh", Dzulkarnain Taib, hari ini dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 11 di sini.

Beliau yang memakai kemeja berwarna biru dan diiringi peguamnya Ranjit Singh dilihat memasuki perkarangan IPD Shah Alam kirakira pukul 1.40 petang dan keluar semula lebih sejam kemudian selepas selesai proses merakamkan keterangan.

Dzulkarnain, 48, yang juga editor lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, ketika ditemui pemberita selepas memberi keterangan berkata rakaman keterangannya dijalankan oleh seorang anggota polis dan beliau berpuas hati dengan proses memberi keterangan itu. "Saya memberi kerjasama kepada polis kerana mereka hanya menjalankan tugas mereka selepas menerima laporan berhubung artikel yang disiarkan," katanya.

Beliau berkata, ini kali pertama sejak berkhidmat selama dua tahun dengan Suara Keadilan beliau dipanggil memberikan keterangan kepada polis.

"Saya tidak ada rasa apa, rasa normal, saya berpeluh kerana cuaca panas. Saya hanya menjalankan tugas sebagai pemberita seperti juga kamu semua," katanya ketika ditanya perasaan apabila dipanggil polis.

Dzulkarnain juga tidak pasti sama ada beliau akan dipanggil semula untuk memberi sebarang keterangan susulan.

Ditanya sama ada keluarga mendiang Teoh Beng Hock memberikan sebarang reaksi mengenai artikelnya, Dzulkarnain berkata beliau tidak pernah berhubung dengan keluarga mangsa sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai pemberita.

Jumaat lepas, dua anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis di IPD Shah Alam berhubung artikel berkenaan dalam Suara Keadilan bertarikh 29 Dis 2009 5 Januari 2010, bilangan 213.

Pegawai SPRM Cawangan Siasatan Putrajaya Hisyam Mohd Yusoff, 30, membuat laporan polis terhadap akhbar tabloid itu yang menyiarkan berita yang dianggap subjudis dan melampaui kuasa inkues yang sedang berlangsung.

Manakala Raub Ghani, 41, juga dari cawangan yang sama membuat laporan polis mengenai tindakan pakar patologi dari Thailand Dr Pornthip Rojanasunand yang disyaki membocorkan maklumat mengenai laporan forensik kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan wartawan terbabit telah dipanggil dan polis akan meneliti rakaman keterangan. BERNAMA

Artikel Lain