suria

Amah Bakar Rumah Majikan Direman Empat Hari

KUALA TERENGGANU: Pembantu rumah warga Indonesia yang membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daing di Seberang Takir di sini semalam ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Mohd Fauzi Abduri berkata Dinda Kiara Tiara Eiragugadis dari Medan, Indonesia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan Seksyen 381 akta yang sama kerana mencuri.

Beliau berkata hasil siasatan yang dijalankan, remaja itu mendakwa dia bertindak membakar beberapa helai cadar dan selimut di atas tilam dalam bilik tidur anak majikannya sebelum melarikan diri setelah tidak berpuas hati kerana dimarahi.

Polis juga sedang menyiasat umur sebenar pembantu rumah berkenaan kerana pasportnya mencatatkan dia dilahirkan pada tahun 1987 dan berasal dari Medan sedangkan majikannya mendakwa umur gadis berkenaan baru mencecah 14 tahun, katanya kepada pemberita di sini.

"Kita akan menunggu laporan daripada doktor gigi berhubung umur sebenarnya sedikit masa lagi," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, Dinda membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.

Dia yang turut melarikan wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer riba bagaimanapun berjaya ditahan di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ketika cuba melarikan diri dengan membeli tiket bas ke Kuala Lumpur.

Sementara itu majikannya, Intan Zunaidah Abdul Wahab, 40, menafikan melakukan sebarang bentuk penderaan termasuk memarahi pembantu rumah tersebut walaupun tidak cekap melakukan kerja-kerja rumah.

"Malah, kami sekeluarga tidak pernah menganggap dia sebagai orang asing dan setiap kali makan, saya akan pastikan anak-anak makan bersamanya untuk mengelakkan dia rasa terasing," katanya.

Walaupun banyak harta benda yang rosak akibat kejadian itu, namun beliau tidak berdendam terhadap Dinda dan telah pun memaafkan pembantu rumah yang diambil bekerja tidak sampai sebulan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain