KUCHING: Kira-kira 1,000 orang berhimpun di perkarangan tempat letak kereta Bank Rakyat Cawangan Kuching di Jalan Kulas, Satok di sini sejak pukul 9 pagi, untuk menjayakan Pesta "Jom, Makan Durian" anjuran bank itu.Kira- kira 600 biji durian dari Kampung Pasir Salak yang terkenal dengan keenakan raja buah itu yang dilambakkan di kawasan berkenaan untuk santapan peminatnya, habis dalam tempoh dua jam sahaja. Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kuching, Azman Abd Aziz berkata penganjuran Pesta "Jom, Makan Durian" itu merupakan aktiviti tahunan cawangan bank tersebut untuk meraihkan pendeposit dan pelanggan bank."Ini adalah salah satu daripada cara pihak bank mengucapkan terima kasih dan menghargai sokongan padu daripada mereka selain merapatkan silaturahim dengan pelanggan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.Azman berkata penganjuran pesta itu juga dapat membantu golongan pengusaha buah durian untuk memasarkan produk mereka pada musim buahbuahan ini."Sambutan tahun ini ternyata lebih baik berbanding tahun sebelumnya, lebih ramai daripada jangkaan awal. Mungkin tahun depan kami perlu anjur pesta yang lebih besar lagi," katanya. - BERNAMA