suria

Bimbang Rakyat Lupa, Kelantan Rancang Percepat Bawa Pulang Sultan

KOTA BARU: Kerajaan negeri kini sedang merancang untuk mempercepatkan proses membawa pulang Sultan Kelantan untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital negara ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cadangan itu berikutan kebimbangan terhadap reaksi rakyat negeri ini yang dilihat semakin kurang bertanya dan menyebut mengenai Sultan Kelantan berbanding sebelum ini.

"Saya perasan dah lama rakyat tidak tanya apa-apa pasal Sultan. Saya berasa sangsi lama sangat Sultan tidak ada, saya bimbang Sultan terlupa dari ingatan rakyat.

"Kerajaan sedang rancang sebaik-baiknya untuk bawa balik Sultan ke dalam negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan membawa pulang Sultan ke dalam negara itu bergantung kepada laporan dari panel kesihatan yang telah dilantik.

Sultan Ismail Petra Ibni AlMarhum Sultan Yahya Petra dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sejak 24 Mei lepas dan masih menerima rawatan doktor pakar di hospital terbabit.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nik Aziz mengingatkan rakyat negeri ini agar mematuhi dan mentaati titah dan arahan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

"Kerajaan negeri yakin Yang Maha Mulia Pemangku Raja telah bertindak dengan sehabis baik Baginda untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepada Baginda iaitu menjalankan kuasa, tugas dan tanggungjawab Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan di bawah perlembagaan (Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan).

"Oleh itu mematuhi dan mentaati titah dan arahan Yang Maha Mulia Pemangku Raja bermakna mematuhi dan mentaati titah dan arahan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan," katanya.

Justeru itu, Nik Aziz meminta semua pihak sama ada para pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat serta seluruh rakyat Kelantan agar menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan