suria

Polis Rampas Gula Pasir Yang Cuba Diseludup Ke Filipina

LAHAD DATU: Pasukan Gerakan Marin (PGM) di sini menumpaskan cubaan menyeludup gula pasir seberat 1.008 tan (1,008 kg) dalam operasi di perairan Felda Sahabat 16 dekat sini, awal hari ini.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM Lahad Datu ASP Rusdin Banin berkata dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki Suluk berusia dalam lingkungan 40-an dan tiada dokumen pengenalan diri.

"Hasil pemeriksaan, kami dapati bot itu membawa muatan gula pasir bernilai RM1,864.80 tidak termasuk cukai, yang cuba diseludup keluar untuk pasaran Filipina," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata operasi pada pukul 2 pagi itu diketuai Kpl Mahmud Arbin dan membabitkan lima anggota PGM.

Rusdin berkata lelaki yang ditahan dan gula rampasan itu diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Lahad Datu untuk tindakan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain