suria

200 PesertaTamat Program Latihan

KUALA LUMPUR: Seramai 200 peserta berjaya menamatkan program latihan dan penempatan (Train & Place) kelolaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan Kolej CQ-Tec di sini hari ini.

Peserta-peserta itu mengikuti kursus-kursus makanan dan minuman, chef, chef India, sistem komputer, elektrikal, elektronik, bantuan komputer automatik (CAD), pentadbiran pejabat dan sistem maklumat.

Exco merangkap Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin merasmikan dan menyampaikan Sijil Kemahiran Malaysia kepada peserta terbabit sekali gus menutup program tersebut, pagi tadi

Hadir sama, Pengarah Eksekutif yang juga Pengetua kolej, P. Kalaichelvi dan Penyelia dan Penyelaras T&P, Faizal Khan Syed Khan.

Biarpun jurang umur peserta-peserta agak besar iaitu antara 18 hingga 40 tahun, mereka duduk sebumbung mengikuti kursus-kursus selama enam bulan demi mencari kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Mereka rata-ratanya terdiri daripada golongan penganggur, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ibu tunggal dan yang diberhentikan kerja.

Gaji permulaan mereka berada dalam lingkungan RM500 hingga RM1,000 bergantung kepada jawatan masing-masing.

Pada sidang akhbar selepas itu Nazir Hussin memberitahu, program sedemikian wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi bahkan mengatasi kebanjiran pekerja warga asing di negara ini.

Sementara itu seotrang peserta kursus elektrik, Afiqah Ariffin, 20, dari Kedah berkata, dia mengikuti program itu kerana tempoh kursus yang singkat iaitu enam bulan manakala yuran pengajian serta penginapan ditaja.

Katanya, dia mempelajari teori dan praktikal pada peringkat sijil tahap satu dan dua.

"Pada pendapat saya, pengetahuan dan pengalaman saya masih tidak mencukupi. Saya tengah tunggu praktikal selama dua bulan di kilang Recron, Nilai.

"Saya hendak sambung belajar pada tahap tiga di kolej yang sama, sebelum tahap empat di kolej lain yang menawarkannya," ujarnya yang bercita-cita ingin menjadi pensyarah elektrik.

Bagi seorang ibu tunggal pula, P. Velangkanni, 40, akan memanfaatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi menerusi kursus Chef India untuk memantapkan operasi perniagaan kateringnya di Desa Keramat, Ulu Klang.

Menurutnya, dia kini lebih pandai dan mahir dalam bidang masakan, malah mengetahui variasi masakan selepas berkursus.

Katanya, dia tidak sabar menjalani praktikal di Lagenda Katering di Puchong untuk melengkapkan pembelajarannya.

"Pada mulanya, memang susah meninggalkan tiga anak di rumah semasa saya belajar. Kini semuanya berbaloi," ujarnya.

Sementara itu, peserta kursus Sistem Komputer, Kuah Qiu Bing, 19, berkata, dia belajar memformat komputer serta mengendalikan perkakasan dalam komputer dalam kursusnya.

Sambil mengatakan tidak teragak-agak memperkenalkan program itu kepada kawan-kawannya, katanya, dia menimba banyak pengetahuan.

Malah, dia berkata akan meneruskan pembelajaran ke tahap lebih tinggi bagi mencapai cita-citanya menjadi pakar komputer.

Artikel Berikut

Artikel Lain