suria

Beregu Lelaki, Wanita Negara Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki dan wanita utama negara, Koo Kean Kiat-Tan Boon Heong dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia selepas menewaskan lawan masing-masing di peringkat suku akhir yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam tadi.

Kean Kiat-Boon Heong menewaskan pasangan dari England Anthony Clark-Nathan Robertson dalam perlawanan suku akhir yang berlanjutan sehingga ke set penentuan dengan keputusan 21-12,23-25 dan 21-11.

Pada peringkat separuh akhir hari ini, beregu nombor satu dunia itu akan bertemu pasangan dari China, Chai Biao-Zhang Nan yang menewaskan gandingan dari Jepun Kawamae Naoki-Sato Shoji 21-11, 21-16 pada peringkat suku akhir.

Satu lagi perlawanan separuh akhir hari ini menyaksikan pertemuan di antara beregu pilihan keempat kejohanan dari Indonesia Chandra Alvent Yulianto-Hendra Aprida Gunawan dan beregu dari China Guo Zhendong-Xu Chen.

Sementara itu, Pei Tty-Eei Hui menumpaskan mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan lawan dari Taiwan Chou Chia Chi-Yang Chia Chen dengan keputusan 21-12 dan 21-12.

Pada peringkat separuh akhir esok, Pei Tty-Eei Hui yang menduduki ranking keempat dunia akan bertemu beregu pilihan pertama kejohanan dari China Ma Jin-Wang Xiaoli yang menewaskan pasangan Korea Selatan Kim Min Jung-Park Sun Young 21-19, 21-13 pada peringkat suku akhir. Satu lagi pertemuan separuh akhir membabitkan beregu Korea Selatan Jung Kyung Eun-Yoo Hyun Young dan gandingan dari China Du Jing-Yu Yang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain