KANGAR: Sebanyak 93 guni benih kerang yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Perlis dekat sini malam tadi.Dua awak-awak rakyat tempatan berumur 28 dan 42 tahun serta seorang remaja berumur 17 tahun warga Thailand turut ditahan. Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 1 Langkawi, Kapten Abdul Rahim Abdullah berkata guni-guni yang berisikan kira-kira empat tan metrik kerang disembunyikan di dalam sebuat bot nelayan yang bernombor pendaftaran Malaysia.Beliau berkata bot tesebut dikesan sedang menuju ke sempadan Thailand kira-kira pukul 10.40 malam."Apabila menyedari kehadiran pihak kami, penyeludup cuba melarikan diri dengan memecut laju bot mereka dan hampir melanggar bot peronda APMM. Bot tersebut bagaimanapun berjaya dipintas," katanya.Abdul Rahim berkata benih-benih kerang tersebut yang bernilai RM55,000 dipercayai dibawa dari Selangor untuk dipasarkan ke Thailand.Selain itu APMM turut merampas 16 tong minyak petrol seberat 250 liter dari sebuah bot nelayan kira-kira 11.45 malam di perairan tersebut."Semasa ditahan bot nelayan itu juga sedang menghala ke arah perairan Thailand dan sepasang suami isteri warga Thailand berumur 62 dan 54 tahun ditahan untuk siasatan," katanya.Abdul Rahim berkata petrol yang boleh dijual pada harga RM3.20 seliter berbanding harga petrol subsidi RM1.80 seliter, mendorong kegiatan penyeludupan bahan bakar tersebut.APMM turut merampas 28 bungkus minyak masak yang disembunyikan di dalam bot itu, katanya. - BERNAMA