suria

AirAsia X Gantung Laluan Abu Dhabi

DUBAI: Syarikat penerbangan perjalanan jauh AirAsia X akan menggantung perkhidmatannya bagi laluan Kuala Lumpur-Abu Dhabi selepas 21 Februari ini atas sebab-sebab komersial.

"Kami akan mengadakannya semula sebaik saja kami mampu memiliki pesawat yang lebih ekonomikal untuk berkhidmat di laluan ini," kata syarikat penerbangan itu sebagai respons kepada pertanyaan mengenai penerbangan Abu Dhabi yang ditulis di laman web rangkaian sosial, Facebook. Syarikat itu menyatakan pihaknya tetap optimistik tentang potensi Abu Dhabi.

Syarikat berkenaan menggunakan pesawat Airbus A340 berenjin empat yang bermula pada November 2009 dengan lima penerbangan seminggu.

Sementara itu, harian The National menyebut seorang jurucakap Abu Dhabi Airports Company (Adac) sebagai berkata bahawa AirAsia X telah mengesahkan mulai lewat Februari 2010, syarikat penerbangan itu akan menggantung sementara perkhidmatannya ke Abu Dhabi.

Adac menasihatkan penumpang menghubungi AirAsia X secara langsung untuk maklumat lanjut.

AirAsia X berkata penumpang yang terjejas boleh mendapatkan kembali wang tambang sepenuhnya, atau memilih laluan baru untuk mana-mana destinasi lain AirAsia X. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain