KUALA LUMPUR: Usaha melindungi dan memelihara sejarah negara perlu diteruskan kerana ia akan dapat menggambarkan betapa nilai sejarah disanjung dan dihayati oleh orang ramai terutama generasi akan datang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.Beliau berkata ketika ini usaha tersebut perlu lebih tertumpu kepada bangunan-bangunan atau aset negara yang mendapat pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco). "Selepas dimartabatkan (oleh Unesco) ia perlu disusuli usaha-usaha melindungi dan memelihara warisan sambil meminimumkan pengubahsuaian terhadap bangunan dan tempat-tempat bersejarah itu," katanya ketika berucap pada majlis anugerah pencapaian industri kebudayaan di sini hari ini.Katanya pemeliharaan nilai sejarah dengan baik oleh pihak bertanggungjawab sekaligus akan menyerlahkan penghargaan negara terhadap pengiktirafan yang diberikan oleh badan dunia itu, kerana usaha mendapatkan pengiktirafan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah."Di Pulau Pinang dan Melaka contohnya, sejarah kedua-dua negeri itu masih dianggap belum cukup hebat untuk mendapat pengiktirafan sejak sekian lama, sehinggalah pembentangan khusus diadakan di Unesco bagi mendapatkan pengiktirafan badan dunia terhadap tapak warisan yang berharga itu," katanya. - BERNAMA