KUALA LUMPUR: Seorang pengarah eksekutif Syarikat Island Red Cafe Franchise Sdn Bhd dan anak lelaki yang juga pengarah syarikat tersebut, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang terhadap tiga pertuduhan menipu dan memperdayakan 93 pelabur lebih RM1 juta. Kedua-dua mereka, Teow Wooi Huat, 44, dan anaknya, Teow Chee Chow, 21, didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di syarikat tersebut di Pandan Indah antara 1 Januari 2008 dan 28 Februari 2009.
Dalam pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat menipu dan memperdayakan 93 orang untuk membuat pelaburan dalam program "Island Red Cafe" di mana pelabur itu telah membayar sebanyak RM1,040,400 kepada syarikat tersebut.
Anak beranak itu juga telah didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 366(3) Akta Syarikat 1965, dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000 atau tujuh tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua mereka juga menghadapi pertuduhan kedua dengan didakwa sengaja melanggar peruntukan Seksyen 15(1)(d) Akta Syarikat 1965, iaitu mempelawa orang awam untuk mendepositkan wang berjumlah RM21,320,100 ke dalam akaun syarikat itu bagi tujuan memasuki program 'Island Red Cafe' untuk tempoh lima tahun.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(8) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum denda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.
Anak beranak itu turut menghadapi pertuduhan ketiga iaitu menawarkan kepada orang awam untuk membeli saham syarikat melalui satu program yang dikenali sebagai 'Program Island Red Cafe', walhal sewaktu tawaran itu dibuat ia bukanlah perniagaan biasa yang menjalankan perniagaan jual-beli saham.
Jika sabit kesalahan yang dibuat mengikut Seksyen 363(5) akta yang sama, mereka boleh didenda sehingga RM250,000 atau penjara sehingga 10 tahun.
Hakim Noradidah Ahmad membenarkan Wooi Huat diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin warga negara Malaysia, manakala anaknya Chee Chow, RM80,000 dengan dua penjamin. Noradidah menetapkan 9 Mac depan untuk sebutan bagi membolehkan mereka melantik peguam.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azmi Ariffin, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA