suria

Warga Singapura Maut, Dua Parah Kereta Terbabas

KUANTAN: Seorang lelaki warga Singapura maut selepas kereta yang dinaikinya bersama tiga anggota keluarga yang lain terbabas di Km42, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Bentong, semalam.

Tan Chee Ming, 39, disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu kereta, Ng Ah Lian, 50, serta anaknya Yap Kin Khun, 13, yang cedera parah kini dirawat di Hospital Selayang, dan keadaan mereka stabil.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, anak lelaki kepada Chee Ming, Tan Chen Yuan, 3, pula hanya mengalami kecederaan ringan.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.30 petang semasa kesemua mereka dalam perjalanan dari arah Karak menuju ke Kuala Lumpur.

"Setibanya di tempat kejadian, kereta jenis Perodua MyVi yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan sebelum masuk ke dalam longkang. Chee Ming yang berada di tempat duduk belakang, tersepit, dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi kemalangan kira-kira pukul 6.45 pagi semalam, seorang peneroka maut manakala rakannya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta di Km63 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan.

Mohamed Fauzi berkata, Mohd Ghazali Mohd Nor, 46, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala rakannya A.Karim Sapar, 49, kini dirawat di Hospital Pekan.

Beliau berkata, motosikal yang ditunggang mereka dikatakan dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah belakang semasa mereka cuba memasuki simpang di sebelah kanan jalan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Berikut

Artikel Lain