suria

Anak Terlalu Rindu Mohon Bapa Pulang

ALOR SETAR: Setiap kali Siti Intan Nur Atika ditanya mengenai ayahnya, Mohammad Kamal Hussain, 46, dia akan menangis.

Ini kerana gadis berusia 18 tahun itu tidak tahu apa jawapan yang patut diberikan kerana dia tidak pernah menatap wajah ayahnya sejak 15 tahun yang lepas setelah Mohammad Kamal meninggalkan rumah untuk keluar bekerja.

"Walaupun saya tidak pernah mengenali ayah saya secara dekat, tetapi perasaan rindu tidak pernah padam. Malah saya amat terharu melihat kawan-kawan saya mempunyai ayah," katanya sambil menitiskan air mata.

Ketika bercakap kepada pemberita sambil memegang gambar ayahnya, Siti Intan Nur Atika berkata, beliau berharap sangat agar ayah balik semula ke pangkuan keluarga kerana dia mahu mengenalinya.

Ibunya, Rogayah Mokhtar, 50, berkata, selepas Mohammad Kamal keluar bekerja di Ipoh lebih 15 tahun yang lepas, dia tidak pernah pulang atau menghubunginya.

Katanya, semasa suaminya yang bekerja dengan syarikat mengendalikan panggung wayang keluar bekerja, mereka masih menetap di Kuala Lumpur.

"Hubungan kami sekeluarga tidak ada masalah malah sangat baik," kata Rogayah.

Katanya, selepas menyedari suaminya tidak pulang ke rumah, dia cuba mencari suaminya di merata tempat tetapi usahanya tidak berhasil.

"Boleh dikatakan seluruh negeri di Malaysia saya pergi mencari suami tetapi semuanya sia-sia," kata Rogayah.

Terbaru ialah sebelum Tahun Baru Cina baru-baru ini apabila beliau dan kakak iparnya, Rodziani Ismail, 55, pergi ke Melaka kerana mendapat tahu Mohammad Kamal menetap di sana.

Mereka mendapat maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara bahawa alamat terakhir Mohammad Kamal adalah di Bandar Hilir Melaka tetapi ketika berkunjung ke alamat yang diberikan, mereka mendapati rumah itu didiami oleh orang lain dan keluarga itu tidak mengenali Kamal.

Rogayah berkata, beliau tidak tahu siapa majikan dan rakan-rakan suaminya.

"Saya tidak pernah mengambil tahu tentang semua itu dan apabila timbul masalah ini, saya tidak tahu bagaimana hendak menghubungi mereka untuk bertanyakan tentang suami saya," katanya.

Rodzaini pula berkata, Mohammad Kamal pernah datang ke rumahnya kira-kira 10 tahun yang lalu.

"Semasa Kamal pulang, dia tidak langsung menceritakan tentang perkara ini (tinggalkan keluarganya) dan saya juga tidak mengesyaki apa-apa kerana kelakuannya biasa sahaja," katanya.

Beliau berharap jika ada sesiapa yang mengenali atau pernah terlihat Mohammad Kamal supaya menghubungi Rogayah menerusi telefon 019-3300681 atau Abdul Rahim (abang Mohammad Kamal) menerusi talian 013-4521403. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulkifli Cabar PKR Supaya Dipecat?

Artikel Lain