suria

Abdul Hadi Dakwa Kehakiman Lemah Punca Campur Tangan Asing

PETALING JAYA: Selepas mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan pendirian Pakatan Rakyat berhubung tindakan 50 ahli Parlimen Australia untuk campur tangan dalam kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mempersoalkan integriti badan kehakiman negara.

Beliau menyalahkan kelemahan badan kehakiman negara ini yang menjadi punca kepada cubaan campur tangan pihak luar.

"Saya berasa malu sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya kita kena tanya kenapa adanya campur tangan.

"Kita patut persoalkan sama ada sistem kehakiman kita sudah bermaruah ataupun tidak," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Jumaat lalu, Abdul Hadi menyelar serta menentang campur tangan asing termasuk dalam perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Abdul Hadi menegaskan, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia tidak rela menjadi mangsa campur tangan pihak asing dan atas alasan itu Pas akan bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

Baru-baru ini, 50 penggubal undang-undang Australia itu telah meminta Malaysia menggugurkan pertuduhan yang melibatkan Anwar itu.

Tindakan mereka ini dikecam hebat oleh pelbagai pihak di negara ini kerana dilihat cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia.

Selain itu, pada sidang media yang turut dihadiri Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Abdul Hadi menggesa supaya institusi kehakiman negara dipulihkan segera bagi terus mengelakkan pihak asing mengganngu.

"Kita kena baiki diri kita sendiri kalau tak nak orang luar campur tangan," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain