suria

Warga Emas Dibebani Hutang Saudara

KUALA LUMPUR: Seorang warga emas dari Klang kini hidup dalam ketakutan kerana diburu ah long akibat terpaksa menanggung hutang saudaranya sebanyak RM32,000 yang menghilangkan diri sejak dua tahun lepas.

Saudara lelakinya itu yang berumur 33 tahun dikatakan berhutang dengan ah long bagi menjalankan satu perniagaan dan selepas itu tidak berdaya menanggung hutang tersebut lalu melarikan diri.

"Saya masih mencari saudara saya, tetapi sehingga sekarang masih tidak dapat menjejakinya," kata Lee Soo Lewi @ Lee Wai Yee, 76.

Wanita tersebut turut membuat laporan polis berhubung kehilangan saudaranya itu tahun lepas.

Lee berkata, beliau telah didatangi kumpulan ah long berkenaan untuk menuntut hutang tersebut tahun lalu.

"Saya juga dipaksa menyerahkan pasport antarabangsa dan salinan kad pengenalan saya," katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA di sini hari ini.

Pengerusi biro berkenaan, Datuk Michael Chong berkata, sebanyak 17 kes ah long dilaporkan kepada pihaknya sejak Januari tahun ini dengan jumlah keseluruhan hutang yang dipinjam mangsa melebihi RM394,000.

Namun sejak Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan perang habis-habisan ke atas kegiatan ah long tahun lepas, kes melibatkan peminjam wang tidak berlesen itu menurun sebanyak 20 peratus tahun ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain