suria

AADK Tahan 59 Orang Disyaki Penagih Dadah Di Penempatan Felda

JEMPOL: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan menahan 59 orang termasuk lima wanita yang disyaki terbabit dengan penagihan dadah dalam Operasi Mega di sekitar kawasan penempatan peneroka Felda Raja Alias dan Felda Palong dekat sini.

Ketua Pegawai AADK Daerah Jempol Zakryei Arip berkata kesemua mereka berumur antara 18 hingga 50 tahun ditahan ketika berada di rumah masing-masing dan mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Walaupun, kita tidak menemui sebarang jenis dadah sepanjang operasi itu dijalankan tetapi mereka yang ditahan mengaku terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Sebahagian besar suspek merupakan penagih baru dan selebihnya berulang," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Operasi selama lapan jam mulai pukul 1 pagi itu membabitkan 73 anggota penguatkuasa AADK negeri dan daerah.

Zakryei berkata kesemua mereka yang ditahan menjalani ujian saringan air kencing dan dihantar ke unit patologi. Keputusannya akan diperoleh dalam masa terdekat.

Katanya serbuan yang dilakukan di kawasan penempatan peneroka Felda itu adalah hasil risikan selama seminggu berdasarkan aduan orang ramai.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (pindaan 1998), kata Zakryei.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain