suria

AGM MCA: Perwakilan Wanita Adakan, Pemuda Tangguhkan

KUALA LUMPUR: Mesyuarat agung tahunan (AGM) Wanita MCA sedang berlangsung di Wisma MCA pagi ini disebalik arahan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun supaya mesyuarat itu ditangguhkan.

Terdahulu, speaker mesyuarat itu, Ooi Siew Kim mengumumkan AGM ditangguhkan dan keluar dari Dewan San Choon lima minit selepas mesyuarat bermula kira-kira 9 pagi.

Beliau memberitahu para perwakilan yang beliau telah menerima surat arahan daripada Chew tengah malam tadi supaya menangguhkan AGM.

Disebalik pengumuman oleh Ooi, kira-kira 350 perwakilan Wanita tetap tidak berganjak dari dewan.

Para perwakilan kemudian melantik Ketua Wanita Kelana Jaya Ong Chong Swen sebagai speaker yang baru pada 9.15 pagi, yang kemudian mempengerusikan mesyuarat itu.

Semalam, Majlis Eksekutif Wanita memutuskan untuk menangguhkan AGM ekoran tindakan 21 anggota jawatankuasa pusat (CC) meletakkan jawatan bagi memberi laluan bagi pemilihan baru parti.

Perkara 36, perlembagaan parti menetapkan AGM adalah sah sekiranya mempunyai kuorum minimum 200 perwakilan.

Ketika AGM itu berlangsung, Chew mengadakan sidang akhbar di sebuah restoran berdekatan.

Sementara itu, AGM Pemuda MCA yang sepatutnya berlangsung di Hotel Legend di sini bagaimanapun terpaksa ditangguhkan berikutan tidak mencapai kuorum minimum ketika pendaftaran ditutup pada pukul 10.30 pagi tadi.

Timbalan Ketua Pemuda MCA pusat, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengumumkan penangguhan tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain