suria

Bahasa Melayu Kekal Bahasa Pengantar Sistem Pendidikan Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehubugan itu menyarankan supaya Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) mempergiatkan usaha mengembangkan istilah-istilah ilmiah khususnya dalam bidang sains dan teknologi dalam bahasa Melayu.

"Sudah tiba masanya Majlis Bahasa memberikan tumpuan kepada usaha pembinaan istilah, terutamanya melalui penghasilan karya-karya ilmiah.

"Dengan cara ini, bukan sahaja istilah bahasa Melayu dapat dikembangkan dengan lebih rancak, malah bahasa Melayu juga akan berkembang sebagai bahasa ilmu yang maju," katanya ketika berucap merasmikan Sidang ke-49 MABBIM di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Bagaimanapun jelas Muhyiddin, usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negara ini akan terus dilaksanakan.

"Kerajaan sedar bahawa dalam dunia global yang semakin kompetitif, penguasaan pelbagai bahasa akan memberikan kelebihan kepada rakyat untuk bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurut beliau lagi, sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bahasa Melayu telah terbukti mampu untuk mengungkapkan konsep ilmu moden yang rumit secara rasional dan saintifik.

"Sehingga kini pun kita telah berjaya melahirkan ramai saintis, jurutera, pakar ekonomi, karyawan dan budayawan tersohor melalui sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama," katanya.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyarankan agar penghasilan karya-karya bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dipergiatkan melalui penerbitan secara bersama oleh negara-negara anggota MABBIM.

"Hasil penyelidikan institusi-institusi pengajian tinggi di ketiga-tiga negara terutamanya dalam bidang sains dan teknologi boleh diterbitkan secara bersama untuk meningkatkan kebolehpasaran karya.

"Dengan demikian, kita bukan sahaja dapat berkongsi penemuan-penemuan baru dalam pelbagai disiplin ilmu, tetapi juga memperkayakan kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu dan bahasa Indonesia," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menyarankan lalu lintas buku antara negara-negara anggota MABBIM dipermudahkan agar buku berbahasa Melayu dan bahasa Indonesia dapat menembusi pasaran yang lebih luas.

"Pada masa ini industri perbukuan berbahasa Melayu dan bahasa Indonesia masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris.

"Dengan cara ini, industri perbukuan Bahasa Melayu dan Indonesia dapat berkembang dengan lebih rancak lagi, sekaligus meningkatkan penggunaan bahasa ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain