KUALA LUMPUR: Golongan wanita akan terus menjadi kuasa utama dalam mempengaruhi perkembangan generasi masa depan selain menjadi sumber penting kepada ekonomi, kata isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.Beliau berkata perubahan dalam persekitaran sosiobudaya, akan terus memberi impak kepada wanita dalam pembangunan. "Saya percaya anda akan bersetuju dengan saya bahawa perubahan merupakan tanggungjawab kita bersama. Semakin kurang tanggungjawab yang kita pikul, semakin kurang kuasa yang kita miliki."Sekiranya kita kurang menghargai terhadap keperluan dan perasaan kita sendiri, kemungkinan besar hak kita dan hak generasi akan datang akan diketepikan," katanya dalam ucaptama di persidangan kali keenam "Women of Independence" di sini hari ini.Namun beliau berkata, perubahan berterusan yang diingini wanita tidak mudah diperolehi, kerana sebahagian besar perjuangan bukan sahaja akan dihalangi oleh faktor luaran, tetapi dari keraguan, ketakutan dan kesinisan diri wanita sendiri."Perubahan akan mengambil masa. Akan ada kekecewaan, salah langkah dan kadang-kala kita akan membuat kesilapan. Terdapat juga mereka yang akan terus-menerus memberitahu kita bahawa kita tidak boleh miliki apa yang kita ingini dan tidak boleh mendapat apa yang kita cari," katanya.Rosmah berkata setiap wanita perlu menolak andaian tersebuat dan yakin bahawa perubahan boleh berlaku.Beliau menyeru individu dan badan bukan kerajaan untuk berganding bahu antara satu sama lain bagi memastikan masa depan dapat memberikan apa yang patut mereka miliki."Seperti yang selalu saya berkata, sekiranya kita sentiasa berpegang tangan dan berganding bahu sebagai satu pasukan yang kuat, tiada apa yang mustahil dan tiada halangan yang tidak boleh diatasi," katanya. -BERNAMA