suria

Warga Iran Tukar Taktik Seludup Dadah Pakai Bengkung

SHAH ALAM: Setelah sering kali gagal menyeludup dadah menggunakan bagasi, sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang membabitkan warga Iran kini dilihat menukar taktik dengan menggunakan pula bengkung untuk menyorok dadah yang mahu diseludup masuk ke dalam negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang.

Taktik memakai bengkung dikesan digunakan oleh seorang warga Iran berumur 41 tahun yang ditahan di KLIA pukul 10.30 malam Khamis lalu.

Lelaki terbabit memakai bengkung di perutnya yang apabila diperiksa mengandungi 2.2 kilogram syabu bernilai RM550,000 di pasaran.

"Ini kaedah terbaru yang dikesan digunakan oleh sindiket dadah. Taktik ini mungkin digunakan kerana cubaan mereka menyeludup masuk dadah melalui bagasi seringkali gagal," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir kepada pemberita di sini hari ini.

Warga Iran tersebut yang tiba dengan penerbangan dari Dubai ditahan setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan tuntutan bagasi.

Pada hari yang sama, beliau berkata, seorang penjual karpet yang juga warga Iran turut ditahan kerana memiliki lapan botol kecil mengandungi 170 gram syabu bernilai RM51,000.

Lelaki berusia 40 tahun ini yang sudah lima tahun tinggal di Malaysia ditahan di apartmen kediamannya di Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Selangor.

Sementara itu di dalam satu kes yang kali ini melibatkan rakyat tempatan, Polis Bahagian Narkotik Petaling Jaya menemui ketamin seberat 1.2 kilogram, 7,000 pil Eramin 5 dan wang tunai berjumlah RM67,000 yang dipercayai hasil daripada penjualan dadah. Dadah-dadah yang dirampas bernilai RM152,000.

Nordin berkat,a seorang lelaki berusia 35 tahun yang berada di sebuah rumah di Petaling Jaya ketika serbuan dilakukan semalam di mana dadah itu ditemui telah ditahan.

Hasil siasatan susulan, seorang lagi lelaki berumur 40 tahun ditahan, kali ini di tempat meletak kereta di Taman Muda, Petaling Jaya.

"Lelaki yang berada di dalam sebuah kereta Proton Saga itu cuba melarikan diri tetapi berjaya diberkas di mana polis menemui satu beg plastik berisi 10,000 biji pil Eramin 5 dan dua bungkusan dadah disyaki syabu seberat dua kilogram di dalam kereta itu," katanya.

Nordin berkata, keempat-empat suspek termasuk warga Iran yang memakai bengkung itu kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Lain