suria

29 Pendatang Menyorok Empat Hari Dalam Hutan Untuk Pulang

PELABUHAN KLANG: Seramai 29 pendatang asing bertindak nekad menyorok dalam hutan di sini selama empat hari dan berlapar semata-mata untuk pulang ke negara asal tanpa mengikut laluan yang betul.

Cubaan pendatang asing dari Indonesia itu bagaimanapun gagal apabila bot yang dinaiki mereka ditahan oleh sepasukan anggota Pasukan Gerakan Marin Wilayah Satu Pelabuhan Klang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin Selangor Asisten Supritendan Nordin Osman berkata bot yang dinaiki pendatang itu ditahan oleh pasukan bot ronda penguatkuasa yang sedang menjalankan operasi di perairan Pulau Ketam di sini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, bot dari Indonesia itu didapati membawa pendatang asing yang terdiri daripada 17 lelaki dan sembilan wanita berumur antara 20 dan 50 tahun.

"Kebanyakan yang ditahan dalam operasi ini mengaku tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk pulang ke Indonesia selain ada juga yang ada visa tetapi sudah tamat tempoh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nordin berkata berdasarkan siasatan awal, bagi urusan perjalanan itu mereka dikenakan bayaran dari RM250 hingga RM600, dan pihaknya turut berjaya menahan seorang tekong dan dua pembantu bot yang juga warganegara Indonesia berumur lingkungan 30-an dalam operasi hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka mendakwa bahawa mereka dikumpulkan di dalam kawasan hutan berhampiran untuk mencukupkan jumlah 30 penumpang bagi satu sesi perjalanan dan tidak diberikan makan selama empat hari.

"Ada di antara mereka ini datang menaiki bas dari Kota Bahru, Kelantan sebelum disorok dalam hutan dan ada yang mendakwa berada dalam negara antara dua bulan hingga setahun sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke negara asal," katanya.

Nordin berkata kesemua pendatang asing itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) iaitu kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah manakala tekong dan pembantunya di tahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen.

Katanya kesemua pendatang asing itu ditahan di Balai Polis Pelabuhan sebelum tindakan susulan. - BERNAMA

Artikel Lain