SEREMBAN: Polis menahan 45 wanita dari China, tiga dari Vietnam dan dua dari Myanmar yang disyaki pelacur, selepas menyerbu beberapa premis sekitar pangsapuri enam tingkat Sri Delima di Taman Bukit Delima, di sini dalam Operas Noda Khas, hari ini.Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan Supt Lim Kim Fook berkata turut ditahan dalam operasi tiga jam yang bermula pukul 11 pagi itu ialah 12 lelaki tempatan yang disyaki pelanggan. Beliau berkata kebanyakan wanita itu memasuki negara menggunakan permit lawatan, dan mereka disyaki melacurkan diri di sekitar kawasan pangsapuri tiga blok itu dengan mengenakan bayaran kira-kira RM200 tiap pelanggan."Dahulu kami pernah serbu kawasan ini, kemudian kawasan ini senyap sekejap, tetapi sekarang aktif kembali. Mereka ini menjalankan aktiviti pelacuran dalam unit pangsapuri yang disewa," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi yang disertai oleh lima pegawai dan 32 anggota polis itu.Katanya semua wanita yang berusia sekitar awal 30an itu akan disiasat mengikut Seksyen 372A (1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan yang berkaitan dengan aktiviti pelacuran.Lim berkata kumpulan pelacur di kawasan itu bergerak tanpa kawalan bapa ayam atau pemantauan mana-mana sindiket pelacuran."Tidak ada sindiket yang mengawal mereka. Kalau ada sindiket, mereka akan ditempatkan di bawah satu bumbung untuk memudahkan pemantauan. Ini mereka hanya bergerak sendiri-sendiri di pelbagai unit di kawasan pangsapuri itu," katanya."Kami mengambil masa beberapa bulan untuk mengintip sebelum menyerbu ke unit-unit kediaman mereka kerana pangsapuri itu turut didiami oleh keluarga tempatan dan kami tidak mahu tersalah serbu," tambahnya. - BERNAMA