suria

170 Rakyat India Dakwa Ditipu Agensi Pekerjaan

KUALA LUMPUR: Seramai 170 warganegara India hampa setelah menyedari ditipu sebuah agensi pekerjaan setibanya mereka di negara ini.

Mereka mendakwa agensi yang menguruskan kedatangan mereka ke sini bersikap tidak bertanggungjawab dan lepas tangan selepas memperoleh wang tunai dan dokumen perjalanan daripada mereka.

Setiausaha Persatuan Persemadian Sikh Hindu Jalan Lok Yew, Sampuran Singh, yang bercakap bagi pihak semua warganegara India itu berkata, tiga rakyat India dan seorang rakyat Pakistan dipercayai menjadi dalang penipuan itu.

"Kesemua empat suspek setelah menguruskan perjalanan mereka ke Malaysia, telah mengambil kesemua wang tunai dan dokumen perjalanan mereka (170 warga India) dan menyatakan akan menguruskan proses seterusnya untuk mendapatkan pekerjaan.

"Namun setelah barangan tersebut diperoleh, muka mereka pun tidak nampak lagi," kata beliau yang turut menjadi orang tengah bagi membantu rakyat India terbabit.

Katanya, kesemua mereka telah membayar antara 150,000 hingga 300,000 rupee (RM10,900 hingga RM21,800) kepada agensi tersebut.

"Sudahlah mereka membayar wang tunai yang banyak, agensi itu juga sanggup mengambil kesemua dokumen penting dan pasport mereka. Kesemua mereka kini sukar bergerak kerana tiada pas perjalanan sah," katanya.

Sampuran berkata kesemua mereka datang secara berperingkat-peringkat dengan pecahan kecil untuk setiap kumpulan.

"Ada yang telah datang sejak pertengahan tahun lepas lagi, namun jumlah mereka semakin bertambah disebabkan kegagalan pihak kedutaan (India) membantu menyelesaikan masalah pas perjalanan sementara," katanya.

Beliau yang bersimpati dengan nasib yang menimpa kesemua mangsa akan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi esok.

Katanya kesemua rakyat India berkenaan akan ditempatkan di sebuah kuil Sikh berhampiran Chow Kit dan pihak kuil bersetuju untuk menanggung segala perbelanjaan sepanjang mereka berada di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain