suria

Zahrain Pembohong Besar

Datuk Bung Mokhtar Radin
Datuk Bung Mokhtar Radin
Datuk Bung Mokhtar Radin

KOTA KINABALU: Satu pembohongan yang besar.

Itulah reaksi Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Parti Sabah Maju (SAPP) berhubung dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Hashim mengenai beberapa nama ahli Parlimen dari Sabah yang didakwa terlibat dengan rancangan pembangkang untuk mengambil alih Kerajaan Pusat pada 16 September 2008.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, Zahrain cuba mencari publisiti murahan dengan dakwaan sedemikian.

“Saya tidak pernah bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini semua satu pembohongan,” kata Bung Mokhtar ketika diminta mengulas dakwaan Zahrain bahawa dia (Bung Mokhtar) antara Ahli Parlimen BN yang dinamakan dalam rancangan berkenaan di sini hari ini.

Katanya, wakil rakyat yang dipilih mempunyai tanggungjawab untuk memberi khidmat kepada pengundi dan bukannya melaksanakan agenda peribadi Ketua Pembangkang.

"Jangan sesuka dakwa kita boleh lompat parti," katanya.

Semalam, Zahrain yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mendedahkan nama lapan Ahli Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui pula menegaskan beliau tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat.

“Tidak ada satu pun yang benar dalam apa yang diperkatakannya dan dia berbohong dalam Parlimen. Ini satu perbuatan yang memalukan kepada pengundi terutamanya di Sabah dan Malaysia amnya.

“Saya dan Datuk Eric Enchin Majimbun tidak pernah bermimpi dan berbincang untuk menyertai Pakatan Rakyat pada 16 September 2008,” katanya dalam kepada mStar Online hari ini.

Soon Bui berkata, perkara tersebut berlaku kerana Zahrain sangat obses dengan kepentingan peribadi.

“Zahrain mungkin lupa kepada sejarah SAPP dan kepentingan rakyat Sabah. Kami keluar BN kerana hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sehingga hari ini kami masih kekal sebagai Ahli Parlimen Bebas dan SAPP tidak menyertai PR atau mana-mana parti. Bagi saya, dia tidak layak untuk bercakap bagi pihak wakil rakyat Sabah yang lain,” katanya.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh pula berkata beliau akan menerangkan sendiri dakwaan Zahrain ketika membahaskan titah diraja pada 22 atau 23 Mac ini.

“Zahrain patut dedahkan senarai sebenar Ahli Parlimen BN keluar parti, bukan buat tuduhan tidak berasas,” katanya.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan dakwaan berkenaan.

"Saya tak mahu komen pasal ini, 48 tahun saya bersama Umno. Apa yang didakwa itu sebagai satu cerita dongeng," katanya.

Tengku Razaleigh berkata, jika dakwaan itu benar, beliau kini pasti sudah memegang satu jawatan besar dalam PKR yang dipimpin oleh Anwar.

Beliau berkata disebabkan dakwaan itu ibarat sebuah cerita yang direka mengikut fantasi pembangkang, beliau tidak mahu membuat sebarang komen terhadap dakwaan yang tidak betul itu.

Beliau turut menafikan didatangi pihak berkenaan agar keluar BN bagi membolehkan pembangkang membentuk kerajaan Persekutuan kira-kira tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Antara nama yang disebut ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Dr Mohd Puad Zarkashi (Batu Pahat); Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar (Jerantut). Salah seorang daripada Timbalan Speaker juga tersenarai dan dikatakan akan melompat menyertai pembangkang.

Artikel Lain