suria

53 Pati Ditahan Kerja Di Kilang Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 53 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari pelbagai negara yang bekerja di dua buah kilang di negeri ini dalam Ops Mahir.

Pengarahnya, Abdul Kadir Siddiq Ahmad berkata, dalam operasi pertama di Perai di sini semalam, 33 lelaki terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Indonesia, Myanmar dan Vietnam ditahan di sebuah syarikat kilang elektronik.

"Hasil pemeriksaan 31 daripadanya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala selebihnya tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi kedua dijalankan di sebuah kilang di Seberang Jaya di sini, di mana 21 orang termasuk 10 wanita warga Indonesia, Vietnam dan Bangladesh ditahan kerana tidak memiliki permit pekerjaan.

"Hasil operasi berkenaan kita telah mengenalpasti sindiket membekalkan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan pas pekerja kepada kilang-kilang di sini.

"Kita percaya ia dilakukan oleh orang tengah atau ejen yang tidak berdaftar mencari keuntungan dengan menjadikan pekerja asing sebagai mangsa," katanya.

Abdul Kadir berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengesan sindiket berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 40 tahun itu dihantar ke depoh tahanan bagi membantu siasatan.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki permit pekerja yang sah dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM10,000 dan penjara lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan, katanya.

Beliau berkata, dua majikan mereka yang turut disoal siasat boleh didenda RM5,000 bagi setiap pekerja asing yang digaji tanpa permit jika bersalah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain