suria

Adun Sekinchan Fail Pernyataan Pembelaan Saman Fitnah Khir Toyo

SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)Sekinchan, Ng Suee Lim, memfailkan pernyataan pembelaan terhadap satu saman ke atasnya oleh Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, berhubung isu banglo mewah yang dimiliki oleh bekas menteri besar Selangor itu di Seksyen 7, di sini.

Pernyataan pembelaan itu difailkan melalui firma guaman Tetuan M.Manoharan & Co di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Pada Januari lalu, Dr Mohamad Khir memfailkan saman fitnah terhadap Ng yang didakwa cuba memburuk-burukkan imejnya menerusi keyataan yang dibuat mengenai pemilikan banglo mewah itu termasuk menerusi media.

Dalam kenyataan pembelaannya, Ng mendakwa beliau mempunyai alasan dan perlindungan bersyarat untuk mendedahkan sebarang dakwaan salah guna kuasa oleh bekas menteri besar itu.

Ng menafikan bahawa kenyataan yang dibuatnya berhubung pembelian banglo itu adalah berunsur fitnah, sama ada dari segi fakta atau undang-undang. Beliau juga menegaskan kenyataan itu adalah satu komen yang berpatutan yang dibuat atas dasar kepentingan umum dan adalah benar dari segi fakta dan intipati.

Peguam M. Manoharan, yang ditemui pemberita selepas memfailkan pembelaan itu, berkata Ng akan memfailkan dua permohonan iaitu permohonan jaminan kos dan permohonan untuk mengenepikan tuntutan Dr Mohamad Khir dalam waktu terdekat.

"Kami akan failkan satu permohonan dalam masa terdekat menuntut Dr Mohamad Khir mendepositkan sekurang-kurangnya RM100,000 di mahkamah sebagai jaminan kos," katanya. Pada 6 Julai tahun lepas, ADUN dari DAP itu mendakwa Dr Mohamad Khir membelanjakan kira-kira RM24 juta untuk membeli banglo di Seksyen 7, di sini.

Menurut Ng, jumlah tersebut tidak mungkin mampu dibiayai Dr Mohamad Khir melalui pendapatan sebagai Menteri Besar yang dianggarkan RM576,000 setahun iaitu RM4.6 juta dalam tempoh lapan tahun memegang jawatan tersebut.

Dr Mohamad Khir bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menegaskan banglo miliknya itu hanya berharga RM3.5 juta yang dibeli menerusi pinjaman daripada sebuah bank dengan tempoh bayaran ansuran selama 30 tahun. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain