SEPANG: Berat hati, namun Omar Atan, yang dipenjara di Laos sejak hampir 10 bulan lalu, tetap berpegang kepada janji untuk kembali ke Laos dan menyambung tahanan tersebut.Suasana pilu menyelubungi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini hari ini apabila Omar, yang pada awalnya kelihatan tenang, tidak dapat menahan air mata pada saat-saat terakhir berpisah dengan anggota keluarga. Selepas bacaan doa oleh Ustaz Mohd Razali Abdul Khadim Imam dari Madrasah Al-Yamani, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Omar yang diiringi keempat-empat anak dan anggota keluarga yang lain dilihat saling berpelukan dengan erat, bagai tidak mahu melepaskan antara satu sama lain, terutama anak kecil beliau yang berusia 11 tahun.Beberapa wartawan dilihat turut sebak menyaksikan peristiwa itu.Bercakap kepada pemberita sebelum itu Omar berkata, beliau amat berdukacita kerana terpaksa meninggalkan keempat-empat anaknya tanpa jagaan orang tua, lebih-lebih lagi setelah isteri beliau meninggal dunia baru-baru ini.Namun kerana berpegang kepada janji, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke negara itu dan menyambung tahanan, walaupun mempunyai peluang untuk melarikan diri."Lagi satu saya ingat saya tak bersalah. Saya berharap Wisma Putra dan Pemuda Umno akan membuat sesuatu untuk membebaskan dan membantu saya kembali ke Malaysia dengan segera," katanya.Omar, 59, orang pengusaha kedai makan di Padang Besar, Perlis, ditahan di Penjara Punthong, Vientiane, sejak 13 Mei tahun lalu tanpa sebarang pendakwaan terhadapnya.Beliau yang fasih berbahasa Thailand telah pergi ke Laos pada 10 Mei tahun lalu bersama seorang lelaki yang memintanya menjadi jurubahasa, dipercayai untuk urusan pengambilan pekerja asing tetapi ditahan ketika hendak pulang selepas berada di negara itu selama tiga hari.Beliau bagaimanapun diberi kebebasan khas oleh Perdana Menteri Laos untuk pulang selama 10 hari ke negara ini bagi membolehkannya menziarahi pusara isterinya, Allahyarham Siti Zaleha Abdullah yang meninggal dunia 18 Mac lalu.Anak sulung Omar, Nur Aleena, 21, berkata, melihat pemergian ayahnya memang amat menyedihkan, lebih-lebih lagi kini ibunya telah tiada dan tanggungjawab menjaga adik-adik terletak di bahunya.Dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari dengan meniaga nasi lemak, Nur Aleena berkata, beliau yakin akan dapat menyara kehidupannya adik-beradik sehingga kepulangan ayahnya ke tanahair."Kami yakin ayah akan dapat pulang," katanya.Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh yang turut menemani Omar kembali ke Laos berkata, kesemua dokumen dan bukti yang menunjukkan Omar tidak bersalah telah pun diterjemah ke bahasa Laos oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi membantu pembebasannya.Beliau berkata, dokumen itu nanti akan diserahkan kepada pihak berkuasa Laos, dan berharap pembebasan Omar dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hari beliau berada di sana."Dokumen ini kita warkahkan kepada Perdana Menteri Laos tapi kita hormati cara-cara dan saluran diplomatik mereka dan bergantung kepada nasihat Wisma Putra dan kedutaan kita di sana apabila tiba," katanya. - BERNAMA