suria

Zambry Harap Pembangkang Kekalkan Ketenangan

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap perjalanan lancar persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini akan berterusan apabila disambung esok bagi membolehkan semua pihak berbahas dan berbincang dengan baik.

Sambil melahirkan rasa puas hati dengan kelancaran istiadat perasmian mesyuarat pertama penggal ketiga persidangan hari ini, beliau meminta semua pihak supaya sentiasa menghormati peraturan serta menjaga ketertiban bagi membolehkan persidangan berjalan dengan sihat.

Perjalanan persidangan hari ini lancar walaupun pembangkang bertikam lidah dengan wakil kerajaan manakala bekas Speaker V. Sivakumar mengacah untuk duduk di kerusi Speaker.

Tindakan pembangkang meminta Speaker Datuk R.Ganesan mengarahkan pengawal keluar dewan menimbulkan sedikit kekecohan yang kemudiannya reda sejurus sebelum Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah memasuki dewan untuk titah perasmian.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya, Zambry berkata persidangan dewan adalah tempat untuk menyampaikan hasrat dan membincangkan masalah rakyat dan bukannya untuk bergaduh dan menunjukkan tindakan melampau dalam berpolitik.

"Alhamdulillah, perjalanan DUN hari berjalan baik dengan dirasmikan oleh Raja Dr Nazrin Shah walaupun ada beberapa percubaan yang dilakukan oleh Adun pembangkang tetapi kita menganggap ia tidak keterlaluan.

"Pembangkang cuba melakukan (gangguan) tetapi (mereka) turut menyedari rakyat sedang memerhatikan mereka. Ketika di dalam sidang tadi, turut kelihatan ada rakan-rakan mereka (pembangkang) menasihati sesama sendiri supaya tidak bertindak liar," katanya.

Pada satu ketika Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) menimbulkan suasana kecoh apabila berteriak ke arah pihak kerajaan dengan mendakwa terlalu banyak 'polis', diikuti jerit rakan-rakannya "...ini sidang DUN, bukan sidang polis".

Bagaimanapun suasana menjadi tenang selepas Ganesan mengumumkan Raja Nazrin akan memasuki dewan. Raja Nazrin yang diiringi Raja Puan Besar Tuanku Zara kemudian memasuki dewan dan meneruskan titah perasmian.

Sejurus selepas titah perasmian, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria membaca doa dan Ganesan mengumumkan persidangan ditangguhkan sehingga 10 pagi esok.

Anggota-anggota pembangkang meminta agar diberikan masa lebih lama untuk membahaskan titah perasmian yang dianggap amat komprehensif.

Persidangan sebelum ini berlangsung dalam suasana kecoh dengan pelbagai gelagat pembangkang termasuk tindakan mereka mengadakan "persidangan" mereka sendiri semasa waktu rehat dan polis juga terpaksa mengawal ketat di kawasan sekitar kerana ramai penyokong pembangkang berkumpul secara haram. - BERNAMA

Artikel Lain