suria

Calon BN Belum Diputuskan - Najib

KUALA KUBU BARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor belum diputuskan.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata rundingan mengenai perkara itu masih dijalankan, dan "apapun keputusan, Timbalan Pengerusi BN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan umumkan perkara itu (calon) sebab saya berada di luar negara."

Beliau yang ditemui dalam lawatannya ke sini hari ini berkata demikian semasa ditanya mengenai calon BN pada pilihan raya kecil itu yang diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas.

Najib, yang dijadualkan berlepas ke luar negara bagi urusan rasmi minggu depan, turut mengadakan pertemuan tertutup dengan jentera BN bagi pilihan raya kecil Hulu Selangor di Bangunan Umno bahagian Kuala Kubu Baru di sini.

Ditanya adakah BN akan meneruskan tradisi dengan meletakkan calon dari MIC, Najib berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

"Saya runding dengan banyak pihak, bukan Datuk Seri Samy Vellu (Presiden MIC) sahaja," katanya.

MIC dilaporkan meminta kerusi parlimen Hulu Selangor dikekalkan kepada parti itu tetapi terdapat ura-ura dari akar umbi yang mahukan supaya calon dipilih dari parti Umno.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor ditandingi Umno sebelum Merdeka, dan beralih ke MCA sebelum diberikan kepada MIC pada 1990.

Timbalan Presiden MIC Datuk G.Palanivel, yang menyandang kerusi Parlimen sejak pilihan raya umum 1990 ditewaskan oleh Zainal Abidin dari Parti Keadilan Rakyat pada pilihan raya umum Mac 2008 dengan majoriti undi 198 undi.

Najib semasa dirujuk mengenai sentimen pengundi di Hulu Selangor berkata tahap sokongan rakyat kepada BN semakin baik, namun sentimen sebenar hanya akan diketahui pada pilihan raya kecil itu nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April ini sebagai hari penamaan calon, dan pengundian pada 25 April.

Najib berkata kempen BN akan bertumpu kepada soal apa yang akan dilakukan kerajaan kepada rakyat, selain menangani masalah dan isu setempat yang dibangkitkan dan berharap "pembangkang tidak sebar fitnah."

Ditanya mengenai tinjauan bebas Merdeka Centre yang 68 peratus rakyat menyokongnya, Najib berkata beliau gembira dengan perkembangan tersebut, namun menurutnya terdapat faktor-faktor lain yang akan dipertimbangkan rakyat pada pilihan raya kecil itu nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain