ALOR SETAR: Kilang pengeluar bihun dan laksa, Twenty-Twenty Food Industry Sdn Bhd di Jalan Kampung Kedundung, Pokok Sena, dekat sini menafikan produk keluarannya tidak halal selain dibungkus oleh pihak lain.
Pengarah Urusannya, Tan Sey Lai berkata, kilang tersebut mendapat sijil halal dari Halal Development Corporation (HDC) yang dikeluarkan pada 1 Dis 2008 dan tamat 30 November 2011.
"Sebelum itu, sijil halal diperolehi dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jadi produk kilang ini selamat dimakan dan tidak meragukan," katanya kepada pemberita selepas dilawati pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, hari ini.
Tan berkata, penyebaran maklumat palsu dalam internet mendakwa produk syarikat itu tidak halal dan dibungkus oleh pihak tidak bertanggung jawab yang dikesan tahun lepas telah menjejaskan keyakinan orang ramai menyebabkan jualannya terjejas dedikit.
Beliau berkata, pegawai JAIK dan KPDNKK yang melawat hari ini melahirkan rasa puas hati dan keyakinan mereka terhadap produk syarikat itu yang merupakan ahli kumpulan syarikat Beras Nasional (Bernas).
"Pada masa ini syarikat mengeluarkan 1,200 tan metrik, 80 peratus bihun dan 20 peratus laksa yang dipasarkan ke seluruh negara dan sedikit ke Brunei dan Singapura," katanya.
Menurut Tan, syarikat kini dalam proses pembesaran kilang yang bersambung dengan kilang sedia ada serta merancang mengeluarkan kue teow kering dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.
"Pembesaran ini membabitkan pelaburan jutaan ringgit dengan penggunaan mesin automatik sepenuhnya. Penggunaan mesin moden ini akan mengurangkan penggunaan tenaga manusia, lebih bersih dan kawalan mutu yang boleh dipertingkatkan," katanya. - BERNAMA