suria

Tengku Puan Pahang Tidak Kenal Remaja Menyamar Anak Angkat Baginda

KUALA LUMPUR: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar berkata baginda tidak kenal remaja lelaki yang ditahan polis kerana menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Baginda berkata remaja itu pernah menulis surat kepada baginda kira-kira sebulan lalu, mengatakan bahawa dia adalah anak angkat baginda dan bertemu semasa Tengku Puan Pahang melawat mangsa banjir tetapi baginda mengabaikan surat tersebut kerana tidak kenal dengan dia.

"Dalam surat tersebut juga dia mengatakan bahawa saya memberi kebenaran kepadanya untuk memanggil saya dengan gelaran mummy atau aunty dan dia mengajak saya untuk melawat kem-kem PLKN", kata baginda selepas Majlis Pengurniaan Surat Penajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (Taff) kepada 42 pasangan suami isteri di Hotel Shangri-La di sini semalam.

Pada Jumaat lepas, remaja berusia 17 tahun itu yang berasal dari Bera, Pahang ditahan polis di rumah saudaranya di Pekan, Pahang ekoran aduan daripada Istana Pahang mengenai kes penyamaran tersebut.

Remaja itu yang kini ditahan reman, menyamar sebagai "Tuan Muda Pahang" pernah memperdaya seorang exco kerajaan neegri Pahang dan Ketua pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kecil.

Baginda yang menyifatkan perbuatan remaja itu sebagai sesuatu yang melucukan berkata, sepatutnya JLKN terlebih dahulu merujuk kepada istana tentang surat yang diterima daripada remaja itu sebelum membenarkannya melakukan lawatan ke kem-kem PLKN di Pahang.

"Saya pun hairan bagaimana exco Pahang juga boleh tertipu sedangkan beliau kenal semua anak angkat saya", tambah baginda.

Remaja itu menggunakan nama gelaran Yang Mulia Tuan Muda Mohamad Zulanif Tengku Laksamana Abdullah, sedangkan tidak ada gelaran laksamana dalam kerabat Diraja Pahang, jelas baginda.

Tunku Azizah Aminah Maimunah berkata bahawa baginda sendiri tidak mengetahui apa motif sebenar remaja terbabit yang kononnya seorang yang suka berdebat.

"Mungkin beliau teringin nak jadi raja, itu yang menyebabkan dia menyamar dan bila dia tengok orang percaya, itu yang menyebabkan dia berani melakukannya lagi", katanya sambil ketawa.

Sementara itu baginda juga bimbang sekiranya remaja tersebut tidak ditahan polis, mungkin akan menjejaskan imej kerabat Diraja Pahang dengan menjanjikan sesuatu yang tidak benar.

Baginda berkata ini bukan kejadiaan kali pertama bahkan sebelum ini pun ramai yang pernah menyamar sebagai anak angkat baginda suami isteri.

"Sebelum ni ada juga yang hendak masuk ke istana dengan mengaku sebagai anak angkat saya tetapi ini kali pertama pihak istana membuat laporan polis", tegasnya.

Baginda juga meminta polis supaya tidak memukul remaja itu tetapi menyiasat jika dia mempunyai sebarang penyakit tertentu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

ZAID YANG SAYA KENALI...

Artikel Berikut

Artikel Lain