suria

Akta Veteran Dapat Bantu Naik Taraf Hidup Pesara Tentera

KUALA LUMPUR: Akta Veteran yang akan digubal tidak lama lagi dapat membantu pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menikmati taraf hidup lebih baik, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata akta itu antara lain membabitkan penyelarasan pemberian elaun bulanan kepada pesara serta kemudahan skim perubatan termasuk diberi keutamaan untuk mendapatkan rawatan pakar di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini.

Menurutnya draf pengubalan akta itu sedang diteliti di peringkat akhir oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

"Ini merupakan usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan bekas-bekas pejuang negara yang telah berjasa kepada tanah air demi menjaga kedaulatan negara," katanya pada sidang media selepas menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 55 bekas pegawai ATM di Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (KPRAMD) di sini.

Bekas Panglima ATM Jen (B) Tun Ibrahim Ismail yang juga Penaung KPRAMD mengetuai senarai penerima itu.

Ahmad Zahid berkata melalui penggubalan akta itu semua persatuan dan kelab pesara tentera dapat disatukan di bawah satu organisasi bagi memudahkan aspek pengurusannya termasuk menyalurkan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

"Dengan akta ini juga, kita akan dapat mandat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya semua persatuan dan pertubuhan bekas tentera disatukan di bawah Akta Veteran.

"Ia menggunakan pendekatan sama untuk persatuan yang bergabung di bawah Pesuruhjaya Sukan di mana kita akan ada Pesuruhjaya Veteran sebaik akta ini digubal bagi membolehkan ia dikendali secara lebih profesional," katanya.

Beliau berkata usaha memberi bantuan dan kemudahan kepada pesara-persara tentera tidak akan berhenti begitu sahaja dan ia akan diteruskan serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjaga kebajikan mereka.

"Ini termasuk faedah rawatan kesihatan untuk suami, isteri dan anak-anak mereka di bawah usia 18 tahun, selain bantuan kewangan pelajaran anak-anak," katanya.

Artikel Lain